Husam sedia jadi ‘orang tengah’ isu royalti minyak Kelantan

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa berkata, tuntutan royalti itu memang pada asalnya adalah perjuangannya dan beliau sudi menjadi ‘orang tengah’ dalam isu berkenaan.

BACHOK: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa berkata, kerajaan PAS Kelantan sepatutnya menggunakan khidmatnya dalam penyelesaian berhubung tuntutan royalti petroleum daripada Petronas.

Beliau berkata, tuntutan royalti itu memang pada asalnya adalah perjuangannya dan beliau sudi menjadi “orang tengah” dalam isu berkenaan.

“PAS sepatutnya ‘guna’ saya untuk jadi orang tengah kerana saya memperjuangkan hal ini (royalti minyak).

“Tetapi oleh kerana PAS tidak mahu menggunakan khidmat saya, jadi lambat sikit (dapat royalti). Nak buat macam mana?… oleh kerana kerajaan negeri dia ada pakar-pakar, jadi khidmat orang macam saya tidak diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penuaian padi jenis UKMRC8 yang dihasilkan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia di Bendang Badak Mati, di sini, hari ini.

Husam yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berkata, jika PAS mahu bekerjasama dengannya untuk menjadi orang tengah, beliau sentiasa sudi.

Sebelum ini, prosiding penarikan saman royalti minyak kerajaan PAS Kelantan ke atas Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan kerajaan persekutuan sebagai pencelah, ditangguhkan kepada 17 Mei depan selepas ketidakhadiran wakil Petronas dan kerajaan persekutuan pada 17 April lalu.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob dilaporkan berkata, kerajaan negeri masih menunggu keputusan mengenainya disebabkan perkara itu hanya boleh diputuskan di mahkamah.

Penarikan saman royalti minyak kerajaan negeri ke atas Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan kerajaan Persekutuan sebagai pencelah, hanya dibenarkan jika Petronas bersetuju dengan tindakan tersebut.

Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Kelantan berharap wakil kerajaan pusat dan Petronas hadir ketika prosiding penarikan saman royalti minyak di mahkamah pada 17 Mei nanti.