Keluarga pekerja yang mati, cedera tidak mendapat pampasan, kata kesatuan

Anggota Kesatuan Pekerja Perkayuan Semenanjung Malaysia pada majlis pelancaran laporan bertajuk “”No Compensation, No Justice: Dean and Injyred Migrant Workers in New Malaysia” yang mendokumentasikan kes kematian dan kecederaan pekerja migran di negara ini.

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa perlu mengambil tanggungjawab ke atas kematian atau kecederaan yang dideritai semua pekerja migran, yang sebilangannya tidak diberikan pampasan lebih 2 tahun selepas kejadian, kata sebuah kesatuan sekerja hari ini.

Kesatuan Pekerja Perkayuan Semenanjung Malaysia (TEUPM) berkata, pihak berkuasa perlu menyimpan rekod berkaiatan kematian dan kecederaan yang dialami pekerja migran sewaktu mereka bekerja secara sah di negara ini.

Setiausaha agungnya, Nor Azlan Yaacob berkata, kerajaan perlu memberi perhatian kepada majikan yang enggan membayar pampasan kepada pekerja mereka, sebaliknya memberi “pelbagai alasan” untuktidak berbuat demikian.

“Pemantauan sama ada pampasan dibayar kepada pekerja atau sebaliknya adalah lemah.

“Banyak keluarga yang didaftarkan sebagai saudara terdekat menunggu lebih 2 tahun untuk mendengar sedikit sebanyak berita baik mengenainya,” kata Azlan pada majlis pelancaran laporan bertajuk “No Compensation, No Justice: Dean and Injyred Migrant Workers in New Malaysia”.

Laporan itu disusun oleh BWI-Malaysia Liason Council bersempena Hari Peringatan Pekerja Antarabangsa hari ini.

BWI merupakan akronim bagi Pekerja Pembinaan dan Perkayuan Antarabangsa, yang merupakan badan gabungan TEUPM.

Laporan itu mendokumentasikan 8 kes kematian dan 20 kecederaan serius membabitkan pekerja migran yang tidak dibayar pampasan sehingga kini.

Nor Azlan Yaacob.

Ia juga mendedahkan kelemahan perlindungan undang-undang bagi pekerja migran.

“Kerajaan perlu menjalankan siasatan menyeluruh berhubung ketidakadilan lampau dan membantu pembayaran pampasan.

“Sesetengah majikan enggan membayar pampasan kepada pekerja mereka dan pelbagai alasan diberikan,” kata Azlan.

Beliau berkata, ramai pekerja yang tercedera berasa takut untuk menuntut pampasan kerana tidak mahu kehilangan kerja mereka.

“Apabila permit pekerjaan mereka tamat, mereka dihantar pulang dan peluang untuk menuntut pampasan juga tertutup sepenuhnya.”

Azlan menggesa kerajaan agar memastikan pampasan dibayar kepada keluarga pekerja migran yang meninggal dunia atau cedera, hatta sebelum skim kecederaan pekerjaan Socso untuk pekerjan asing mula berkuat kuasa tahun ini.

“Perubahan terbaru undang-undang bagi memasukkan pekerja ke bawah perlindungan Socso akan memudahkan pekerja migran membela diri mereka bagi mendapatkan bantuan perubatan atau pampasan apabila berlakunya kecederaan atau kematian,” kata beliau.

Kamarul Baharin Mansor.

Jurucakap BWI-MLC Kamarul Baharin Mansor berkata, kerajaan juga perlu melaksanakan satu sistem bagi mengesahkan bayaran pampasan kepada keluarga pekerja di negara asal mereka.

“Ini akan meningkatkan peluang anggota keluarga mendapat pampasan yang adil atas kematian orang tersayang mereka,” katanya.

Seorang pekerja Nepal yang mahu dikenali hanya sebagai Krishna berkata, beliau hilang tangannya dalam satu kemalangan mesin semasa bekerja di sebuah kilang pada Julai tahun lepas dan tidak mendapat apa-apa pampasan daripada syarikat.

Krishna yang berkerja di Malaysia hampir 4 tahun berkata, beliau membuat laporan polis, tetapi tiada tindakan diambil.

“Saya diberitahu bahawa saya sepatutnya mendapat sekurang-kurangnya RM17,000,” katanya.