Menteri galak majikan gaji bekas banduan

Sebelum ini, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan akan mengambil 3 bekas banduan untuk bekerja di kementeriannya sebagai usaha memberikan mereka peluang kerjaya.

PUTRAJAYA: Majikan digalakkan menggaji bekas banduan bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Beliau berkata tindakan memberi peluang kerjaya kepada golongan bekas penghuni penjara itu akan memberikan harapan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan sebaik dibebaskan.

Katanya, beberapa kementerian, antaranya Kementerian Belia dan Sukan mula memberi penekanan dengan menawarkan pekerjaan dan inisiatif kepada majikan yang menggaji bekas banduan.

“Kita harap majikan akan memberi peluang, kerana ini adalah satu perkara yang perlu diambil kira kerana kadar pengangguran di Malaysia adalah 3.3%.

“Jadi, negara masih memerlukan pekerja dan saya berpendapat mana-mana bekas banduan perlu dibantu dengan memberi peluang kerjaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2019 di Dataran Putrajaya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata beliau akan mengambil 3 bekas banduan untuk bekerja di pejabatnya sebagai usaha memberikan mereka peluang kerjaya.

Mengulas lanjut, Kula Segaran berkata kementeriannya juga akan menyediakan latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada golongan banduan sebelum mereka memulakan kerja.

Terdahulu, beliau melepaskan hampir 10,000 peserta tempatan dan luar negara yang mengambil bahagian program larian dan kayuhan “Labour Day Run & Ride 2019” yang diadakan sempena Hari Pekerja tahun ini.

Program itu membabitkan acara larian sejauh 5km dan 10km serta acara kayuhan sejauh 20km dan 40km.

Kula Segaran turut mengambil bahagian dalam acara “jalan santai” sejauh 2.5km bersama timbalannya Mahfuz Omar dan pegawai kanan kementerian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan program tahunan itu sebagai usaha ke arah mempromosi gaya hidup sihat serta memupuk kesedaran dalam kalangan pekerja.

“Negara melangkah ke arah Revolusi Perindustrian Ke-4 yang juga memerlukan tenaga kerja produktif yang sihat dan cergas. Jadi, kita mahu pekerja mengutamakan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja,” katanya.

Berdasarkan Program Saringan Kesihatan yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pekerja berusia 40 tahun ke atas, Perkeso mendapati kira-kira 70% mereka yang mengambil bahagian dalam program itu mengalami obesiti; kolestrol tinggi (67%); tekanan darah tinggi (27%) dan diabetes (13%).