Pakar saran beri taklimat Statut Rom kepada pihak keselamatan, elit

Shad Saleem Faruqi berkata dengan meratifikasi Statut Rom membolehkan Putrajaya mengkritik keengganan dan ketidakupayaan ICC mendakwa ‘negara kuasa besar dunia’.

KUALA LUMPUR: Seorang pakar perundangan dan perlembagaan mencadangkan pihak berkuasa seperti tentera, polis dan pihak keselamatan lain, termasuk golongan elit diberi taklimat mengenai Statut Rom, selepas terdapat bantahan dari pihak tertentu yang menentang statut berkenaan.

Shad Saleem Faruqi berkata, satu jawatankuasa di peringkat Parlimen juga perlu diwujudkan bagi membincangkan mengenai kelebihan dan manfaat dari perjanjian ini dengan lebih jelas dan terperinci, serta turut melibatkan masyarakat awam.

Tambahnya, sekiranya Malaysia meratifikasi Statut Rom, secara tidak langsung membolehkan Putrajaya mengkritik keengganan dan ketidakupayaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mendakwa “negara kuasa besar dunia” yang bertindak ke atas penduduk Palestin, Afghanistan, Iraq, Libya, Yaman dan Syria.

“Suara kita akan menjadi lebih besar dan dipandang. Kita juga akan menjadi contoh baik kepada 8 daripada 10 negara Asean yang masih tidak meratifikasi statut ini,” katanya.

Terdahulu, Putrajaya memutuskan untuk menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom selepas terdapat bantahan daripada golongan diraja di mana Agong boleh didakwa di Mahkamah Jenayah Antarbangsa atas peranan baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Satu lagi sebab ia dibantah adalah Putrajaya tidak pernah merujuk Majlis Raja-raja berhubung Statut Rom sebelum meratifikasikannya.

Bagaimanapun, Shad Saleem berkata Putrajaya tidak perlu mendapatkan persetujuan Majlis Raja-Raja, memandangkan tindakan itu tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perundingan adalah salah satu amalan dalam prinsip demokrasi dan ia juga salah satu ciri pentadbiran yang baik. Bahkan tidak ada salahnya berunding tetapi untuk katakan mereka (Majlis Raja-raja) perlu dimaklumkan, ia tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, persetujuan Majlis Raja-raja hanya diperlukan apabila ia membabitkan 13 perkara mengenai keistimewaan dan kedudukan Majlis Raja-raja, kedudukan khas bangsa Melayu dan Islam serta hak untuk mendapatkan kewarganegaraan.

“Ratifikasi perjanjian ini bukanlah satu perkara di mana Putrajaya perlu mendapatkan persetujuan Majlis Raja-raja. Hal ini kerana, penolakan Majlis Raja-raja terhadap statut ini tidak memberi sebarang kesan dari sudut perundangan,” katanya.

Shad Saleem turut berpandangan, jenayah penghapusan etnik atau jenayah terhadap kemanusiaan seperti termaktub dalam Statut Rom tidak akan memberi sebarang ancaman terhadap kedudukan Islam atau kedudukan bangsa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bukan itu sahaja, beliau turut menafikan dakwaan 4 ahli akademik bertindak menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-raja yang menyatakan Yang Di Pertuan Agong terdedah untuk didakwa kerana menjawat tugas ketua komander angkatan tentera.

Jelasnya, Statut Rom sudah menyatakan dengan jelas, iaitu Agong tidak mungkin didakwa walaupun memegang jawatan ketua komander angkatan tentera, seperti dinyatakan dalam Perkara 28 dalam statut berkenaan, yang menyatakan “hanya seseorang yang memberi arahan secara langsung, mempunyai kuasa perintah dan kawalan sahaja ke atas tentera”.

Shad Saleem juga menafikan dakwaan jenayah membabitkan golongan minoriti LGBT boleh menjadi sebab untuk Agong didakwa di ICC. Baginya, “tidak ada apa-apa dalam Statut Rom mengenai LGBT. Perkataan LGBT, transgender, minoriti seksual, atau keutamaan seksual tidak boleh berlaku di Statut Rom”.

Tambahnya, penganiayaan terhadap sesetengah kumpulan hanya boleh diklasifikasikan sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan” sekiranya diiktiraf secara meluas sebagai perkara yang tidak dibenarkan.