Pelancong Malaysia cedera dalam gempa bumi di Taiwan meninggal dunia

Choo melakukan aktiviti kembara di Lushui Trail di Taroko National Park di Hualien bila daerah itu mengalami gempa dengan kekuatan magnitud 6.1. (Gambar Jabatan Bomba Hualien County)

PUTRAJAYA: Pelancong Malaysia yang cedera di Taroko Gorge National Park di Taiwan pada 18 April, Choo Yip Chean meninggal dunia lewat Sabtu malam (27 Apr), kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah dalam kenyataannya hari ini.

Saifuddin berkata beliau bercakap dengan anggota keluarga Choo bagi menyampaikan ucapan takziah dan simpati.

“Kementerian Luar, menerusi Malaysian Friendship and Trade Centre di Taipei sedang membantu keluarga Choo untuk mengendalikan segala urusan yang perlu,” kata nya.

Beliau berkata, Kementerian Luar meminta media dan orang ramai agar menjaga perasaan anggota keluarga berkenaan pada saat-saat melalui ujian ini.

Ingatan dan doa kami untuk keluarga dan rakan-rakan mendiang, kata Saifuddin.

Menurut laporan, Choo sedang melakukan aktiviti kembara di Lushui Trail di Taroko National Park di Hualien bila daerah itu mengalami gempa dengan kekuatan magnitud 6.1.

Sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan cedera.