GPS merupakan kubu pertahan hak Sarawak, kata James Masing

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing.

KUCHING: Seorang menteri Sarawak berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bagi menghalang pencerobohan terhadap hak negeri.

Timbalan Ketua Menteri, James Masing berkata, apa-apa kesilapan dalam undang-undang berhubung Sarawak akan memberi kesan ke atas negeri berkenaan secara keseluruhan.

“Kita merupakan kubu terakhir bagi menghalang pencerobohan kehendak undang-undang daripada pihak satu lagi (Semenanjung Malaysia)”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di sini.

Beliau berkata, rakyat Sarawak mungkin tidak mempunyai kawalan ke atas undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, tetapi mereka masih mempunyai kuasa dalam DUN. “Mana-mana undang-undang yang memberi kesan ke atas Sarawak mesti melalui dewan perundangan negeri,” katanya.

Masing berkata, keputusan terbaru untuk memindahkan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dari Kuching ke Kota Kinabalu, yang kemudiannya ditarik balik, merupakan “ujian” daripada Putrajaya sama ada rakyat Sarawak tahu hak undang-undang mereka.

Keputusan itu mendapat bantahan ahli politik dan peguam Sarawak yang menyifatkannya sebagai berlawanan dengan perlembagaan kerana kerajaan pusat gagal mendapat persetujuan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.