Kenapa Dr M tegur PH jangan berfikir macam sosialis?

Beberapa hari yang lalu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia, Soam Heng Choon memberi amaran negara ini bukan negara sosialis dan memberi teguran jika ada sebarang niat oleh kerajaan untuk mengawal harga perumahan.

Beliau berkata kita kena membenarkan pasaran bebas menentukan harga barangan. Inilah ketakutan seorang pemaju hartanah mengenai sosialisme kerana beliau takut harga perumahan akan dikawal supaya ia mampu dibeli oleh rakyat biasa.

Dalam erti kata keuntungan, kapitalis hartanah tidak dapat mendapat keuntungan maksimum.

Pada Februari lalu semasa pilihanraya kecil DUN Semenyih, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pula berkata sesetengah pemimpin kerajaan Pakatan Harapan hari ini harus mengubah cara pemikiran “sosialis” mereka dan tidak terus mengecam sistem kapitalis.

Beliau menegur segelintir orang PH dengan berkata mereka tidak seharusnya mengecam sistem kapitalis tersebut kerana sistem ini yang selama ini memperkayakan negara.

Ini tidak hairan datang dari Mahathir yang merupakan bapa penswastaan Malaysia yang menswastakan pelbagai institusi awam, seperti Lembaga Letrik Negara kepada Tenaga Nasional, Telekom Malaysia dan lain-lain, dan juga boleh dikatakan perdana menteri yang memperkenalkan sistem kapitalisme neo-liberal di Malaysia.

Sistem tol, hospital swasta dan pendidikan swasta semuanya berkembang bebas bawah pengaruhnya. Pada masa sama, beliau juga memastikan akta gaji minimum tidak dapat dilaksanakan semasa pemerintahannya.

Ini bukan kali pertama Mahathir mengecam sistem sosialisme. Pada April tahun lalu, Mahathir berkata mereka yang mahu tol dibatalkan adalah golongan sosialis dalam PH.

“Kadang-kadang saya rasa mungkin kita tidak dapat menunaikan janji-janji ini. Parti kami, rakan pakatan kami, mereka sangat sosialis. Mereka suka memberi kepada rakyat,” katanya.

Ungkapan Mahathir ini memberi gambaran mereka yang mahu memberi kepada rakyat atau pro rakyat adalah mereka yang sosialis.

Semasa Mahahtir menjadi perdana menteri, beliau langsung tidak mahu membenarkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) didaftarkan sebagai sebuah parti politik. PSM memohon pada 30 April 1998 tetapi hanya dibenarkan didaftar pada 2008, iaitu 10 tahun selepas itu oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu penyelesaian di luar mahkamah.

Kenapa takut sangat?

Sejarah perjuangan Tanah Melayu dan Malaysia, sebahagian besarnya berkisar sekitar bagaimana puak kanan kapitalis cuba menafikan kebangkitan puak kiri untuk ambil alih kuasa pemerintahan negara. Walaupun perang dingin sudah berakhir dengan kejatuhan Tembok Berlin pada 1989 tetapi golongan kanan tetap takut akan kehilangan keuntungan dan kuasa ekonomi yang merupakan matlamat utama mereka .

Pada 1948, darurat diistiharkan untuk menghancurkan golongan nasionalis kiri progresif yang diterajui oleh Pusat Tenaga Rakyat-Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (Putera-AMCJA). Ribuan aktivis politik ditahan bawah Akta Darurat dan dibuang negara, ribuan dibunuh dan hampir semua parti politik, organisasi progresif dan kesatuan sekerja dibubarkan.

Ini semua hanya dilakukan untuk membolehkan golongan puak kanan bangsawan diketuai oleh Umno untuk mendapat kemerdekaan.

Pada 1963, Malaysia ditubuhkan untuk membawa masuk kepulauan Borneo dan Singapura bawah kuasa imperialis British hanya untuk menghalang dan menyekat kemaraaan kuasa kiri komunis/sosialis yang mula merebak dari Utara Vietnam, Laos, Kemboja dan sebagainya.

Pada 1 Ogos 1960, iaitu sehari selepas Darurat 1948 ditarik balik, kerajaan Perikatan menggubal satu akta khas untuk terus menghancurkan golongan kiri iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sejak itu ISA sering digunakan di Malaysia dan Singapura untuk mengekalkan parti pemerintah terus berkuasa.

Atas nama Konfrontasi Indonesia, ISA digunakan untuk menghancurkan Fron Barisan Sosialis di Malaysia dan di Singapura pada awal 1960-an. Pada Julai 1961, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra berkata, “jika pilihan raya persekutuan yang akan datang kelihatan seperti menghasilkan majoriti sosialis, pilihan raya tidak akan berlaku; elit Melayu akan menggunakan kawalan ke atas kuasa-kuasa pentadbiran dan keselamatan untuk mewujudkan satu kuasa diktator.”

(“if the next Federal Elections looked like producing a socialist majority, the election would not take place; the Malay elite would use its control of the administration and security forces to install a dictatorship”)

Pada 1974, gerakan mahasiswa yang diterajui Kelab Sosialis UM juga dihancurkan dengan menggunakan ISA. Pada 1987, Operasi Lalang digunakan untuk menghancurkan parti-parti pembangkang dan organisasi progresif. Rasional yang digunakan adalah pembangkang dan aktivis ini diresapi fahaman komunis.

Pada 2007, Timbalan Menteri Sumber Manusia Abdul Rahman Bakar pula memberi amaran kepada MTUC hanya kerana MTUC membela nasib kaum pekerja, dan menegaskan kerajaan yang diketuai Barisan Nasional mempunyai toleransi sifar untuk ideologi sayap kiri. Beliau menuduh pimpinan MTUC mempunyai pengaruh sosialis yang kuat

Semasa kemuncak gerakan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2011, semasa gerakan Bersih mendapat momentum kuat dan mula berpengaruh, kerajaan BN juga bertindak menahan aktivis PSM dan cuba menggunakan penahanan 6 orang aktivis PSM bawah Akta Darurat atas alasan menghidupkan semula Parti Komunis Malaya (PKM).

Ini dikenali umum sebagai penahanan EO6. Amat jelas tindakan pemerintah hanya sekadar menggunakan alasan ini sebagai umpan untuk menghancurkan gerakan Bersih, walaupun gerakan itu bukannya satu gabungan kiri. Maka hantu sosialis atau komunis sering kali dikitar semula untuk mewujudkan kegerunan.

Maka apakah yang mereka takut sangat dengan sosialis? Sejarah membuktikan penjajah British lebih suka kepada golongan Umno daripada golongan kiri yang diketuai oleh Putera-AMCJA kerana mereka perlu menjaga keuntungan penjajah.

Mengapa pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan? Sejarah akan membuktikan semasa pilihan raya kerajaan tempatan, golongan sosialis mendapat kemenangan besar sehingga mereka mengawal banyak majlis tempatan, maka majlis tempatan dibubarkan.

Mengapa Mahathir dan kerajaan BN sebelum ini mengambil 10 tahun untuk mendaftarkan PSM walaupun dikatakan umum ideologi sosialis tidak lagi mempunyai pengaruh? Semasa PSM diberi pendaftaran akhirnya pada 2008, apabila ditanya pemberita kenapa pemerintah mengambil 10 tahun untuk mendaftar PSM, Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Akhbar berkata negara China komunis pun sudah berubah jadi kapitalis, maka boleh dibenarkan PSM didaftar.

Maka apakah yang ditakutkan oleh mereka tentang sosialis? Kenapa penjajah British gerun tentang sosialis? Kenapa Mahathir tegur orang PH supaya jangan berfikir macam orang sosialis? Kenapa pembasmian tol dikaitkan dengan sosialis? Kenapa penjual hartanah takut tentang sosialis?

Kenapa PSM tidak dapat pendaftaran secepat PPBM?

Selagi keuntungan tak terjejas

Ini semuanya ada kaitan dengan isu keuntungan. Sistem kapitalis percaya selagi keuntungan mereka tidak terjejas, mereka boleh menyokong parti yang memerintah. Itulah sebabnya mereka tidak gentar dengan PH kerana PH tidak mengugat sistem kapitalisme.

Itulah juga jawapan kepada ramai rakan kita yang tanya, kenapa PSM tidak dipanggil untuk menyertai Pakatan Rakyat dan kemudiannya PH.

Ini kerana wujud pelbagai konflik antara cara sosialis melihat sesuatu isu dan kapitalis. Sosialis mahukan golongan maha kaya dicukai untuk membantu sistem pendidikan dan perubatan percuma. Sosialis mahukan kerajaan memainkan peranan lebih dalam meningkatkan gaji pekerja biasa tetapi pada masa yang sama menyekat gaji CEO dan kapitalis yang melampau.

Sosialis mahukan rumah untuk orang tinggal bukan rumah dilihat sebagai hartanah untuk meningkatkan harga rumah dan spekulasi. Sosialis mahukan penyertaan rakyat biasa dalam ekonomi dan lebih demokrasi di peringkat bawahan seperti di kampung dan kerajaan tempatan.

Kapitalis mahukan polisi-polisi mereka mengenai penswastaan, pendidikan swasta dan perubatan swasta diberikan lebih peluang oleh kerajaan. Kapitalis mahukan buruh murah. Kapitalis mahukan undang-undang buruh yang anjal supaya pekerja tidak mendapat jaminan kerja dan senang dibuang.

PSM pula sebaliknya mahukan undang-undang yang dapat membela kebajikan dan jaminan kerja.

Semasa PRU pula, kapitalis dari China dan Arab sedia menaburkan duit yang begitu besar kepada parti politik haluan kanan. Adakah ini untuk memastikan rakyat kita akan lebih selesa atau adakah ini untuk memastikan keuntungan dan pengaruh mereka berterusan?

Maka sempena dengan hari ulangtahun PSM ke-21, atau 11 tahun selepas didaftar, cabaran yang akan ditempuhi oleh sebuah parti sosialis memanglah genting. Tohmahan-tohmahan ke atas golongan kiri seperti “anti agama” dan “anti perniagaan” sebenarnya hanyalah alasan untuk memastikan golongan kiri tidak mendapat tempat dalam kalangan rakyat biasa.

Kekalahan PSM dan kehilangan deposit pada PRU yang lalu akan dilihat sebagai parti ini ditolak oleh rakyat. Namun kekalahan ini, masih tidak mengurangkan kegerunan golongan kapitalis terhadap sosialis sehingga Mahathir sendiri kena ingatkan orang tentang “bahaya sosialis”.

Teguran PSM mengenai harga rumah, masalah perubatan awam, pendidikan swasta, alam sekitar dan gaji pekerja sentiasa menjadi duri dalam daging kepada golongan kapitalis dan pemerintah PH atau BN yang berpaut kepada mereka.

Politik dunia hari ini bergerak ke 2 arah, iaitu satu arah kanan tegar di mana isu perkauman dan agama menjadi agenda utama. Ideologi Donald Trump dan Israel kanan tidak banyak berbeza dengan golongan ekterimis perkauman dan agama kanan di negara ini. Mereka semua percaya kepada ketuanan kaum atau agama, mereka anti pelarian dan pendatang.

Manakala di pola yang lagi satu alternatif kiri yang memperjuangkan polisi-polisi yang membawa perpaduan, keadilan sejagat, kesaksamaan ekonomi. Gerakan kita 99% gerakan rakyat yang menyatukan gerakan bawahan dan semakin mendapat hati di banyak negara terutamanya dalam kalangan orang muda yang bosan dengan tindak tanduk kapitalis yang mewujudkan kemiskinan, jurang kekayaan dan krisis ekologi dan cuaca.

Ini adalah “peperangan” kelas sosial.

Selamat menyambut hari ulangtahun PSM. PSM pembela sistem sosialis yang begitu digeruni oleh kapitalis kerana kapitalis tidak mahu berkompromi dengan kekayaan dan keuntungan mereka.

Kami pula tidak mahu berkompromi dalam usaha kami untuk mewujudkan dunia yang lebih bebas, saksama, aman dan selamat untuk semua.

S Arutchelvan adalah ahli jawatankuasa pusat PSM.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.