Orang Asli Gerik buat benteng manusia sekat lori keluarkan balak

Sekumpulan Orang Asli dari Kampung Tasik Cunex, Gerik di Perak membuat benteng manusia dan membaring di depan sebuah lori balak, hari ini. (Gambar daripada video ihsan Peka)

PETALING JAYA: Orang Asli di Kampung Tasik Cunex, Gerik membuat benteng manusia untuk menghalang lori balak memasuki kawasan hutan yang didakwa ialah tanah adat mereka.

Kejadian itu bermula kira-kira 12.30 tengah hari tadi apabila sekumpulan Orang Asli cuba menghalang pembalak mengeluarkan kayu balak yang ditebang, selepas sekatan dibina mereka itu sejak Januari lalu didakwa dirobohkan pembalak secara diam-diam awal pagi tadi.

Wakil Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Yatie Shahrom ketika dihubungi FMT berkata, Orang Asli turut mengadakan protes duduk dan baring di laluan lori balak itu.

“Pada 6.30 pagi, sekatan yang dibina Orang Asli Tasik Cunex sejak Januari lalu dirobohkan pembalak, kemudian 10 lori masuk ke kawasan pembalakan.

“Jam 11 pagi, Orang Asli mendirikan semula sekatan dan membuat benteng manusia bagi menghalang lori balak keluar melepasi kawasan sekatan dan tanah adat mereka. Berlaku kekecohan antara pembalak dan Orang Asli sekitar 12.30 tengah hari.”

Difahamkan, sehingga 3 petang ini, balak ditebang sejak Januari lalu yang dimuatkan dalam kira-kira 15 lori sudah dikeluarkan dari kawasan hutan itu.

Sementara itu, Ketua Kampung Tasik Cunex, Apam Yek mendakwa beberapa wakil pembalak menarik dan menolak Orang Asli yang melakukan benteng manusia.

“Kami cuba halang lori, tapi kami tidak ramai sebab mereka datang mengejut ambil balak…hanya kira-kira 20 orang sempat keluar.

“Setelah ditarik dan ditolak, kami takut dan tidak boleh buat apa-apa, mereka juga halau kami balik,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan pihaknya dalam perjalanan untuk membuat laporan di Balai Polis Gerik hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bertegas akan mempertahankan tanah adat mereka apabila wakil pembalak menemui mereka untuk memberitahu sekatan akan dirobohkan semalam.

Presiden Peka, Shariffa Sabrina Syed Akil mengecam pembalak bertindak kejam terhadap Orang Asli di Gerik.

“Nak tunggu sampai ada yang mati ke? ‘Happening now in’ Gerik, Perak,” katanya dalam kenyataan dan rakaman video kekecohan hari ini yang dimuat naik ke Facebooknya.

Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Mohamed Zin Yusop ketika dihubungi berkata, pihaknya tiada maklumat mengenai kejadian hari ini.

FMT sedang mendapatkan maklum balas daripada wakil kerajaan Perak dan polis.

Awal Februari lalu, penduduk Orang Asli di Gerik mendakwa kerajaan Perak menceroboh tanah adat mereka dengan kegiatan pembalakan sejak 18 Januari lalu.

Mereka mendakwa pembalakan itu dijalankan di kawasan seluas 80 hektar yang merupakan tanah adat mereka, tanpa kebenaran dan sekatan didirikan selepas aduan kepada kerajaan negeri serta menteri besar pada 10 Januari lalu tidak diendahkan.

Orang Asli di Gerik sudah membuat laporan polis beberapa kali dan tiada hasil diperolehi daripada pertemuan dengan wakil kerajaan Perak, Jabatan Perhutanan Perak serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy pada 18 Februari lalu.

Pada 7 Mac lalu, komuniti itu mendakwa pihak berkuasa yang lengkap bersenjata, mengugut dan meminta mereka membuka sekatan ke atas laluan pembalak.

Pengerusi Jaringan Kampung Tasik Asal Cunex Hulu, Pam Yeek dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku pada 3 Mac lalu apabila 11 individu dari Jabatan Perhutanan Perak, polis dan tauke balak menaiki 5 kenderaan pacuan 4 roda menuju ke perkampungan mereka.

Bagaimanapun, Ketua Polis Gerik, Ismail Che Isa menafikan Orang Asli diugut pihak berkuasa.

Katanya, polis hanya mengiringi anggota Jabatan Perhutanan Perak dan wakil syarikat balak ke kawasan pembalakan yang didakwanya sudah dilesenkan kerajaan negeri.

Jabatan Perhutanan Perak pula menafikan dakwaan “tanah adat” Orang Asli di Gerik diceroboh kerana tiada kawasan hutan simpanan kekal di Perak diwartakan sebagai tanah adat komuniti itu.