Parti tempatan perlu rampas semula Sandakan, kata Jeffrey

Kerusi Parlimen Sabah akan menghadapi pilihan raya kecil bulan depan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandangnya, Stephen Wong, 28 Mac lepas. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Pemimpin pembangkang Sabah, Jeffrey Kitingan menggesa pengundi di Sandakan supaya merampas semula kerusi itu, yang menurutnya merupakan milik parti tempatan, dalam pilihan raya kecil (PRK) di situ 11 Mei depan.

“Kerusi ahli Parlimen di Sabah adalah milik rakyat Sabah sebagai satu bentuk jaminan perlembagaan bagi melindungi hak negeri daripada terhakis atau diambil.

“Melepaskan kerusi Parlimen Sabah bermakna menyerahkan hak politik dan perundangan kita kepada Malaya. Ini bermakna hilang perlindungan perlembagaan serta melemahkan kuasa tawar-menawar kita,” kata ahli Parlimen Keningau itu pada majlis pelancaran jentera Parti Solidariti Tanah Airku di Penampang di sini, semalam.

Beliau berkata, Semenanjung Malaysia sudah pun mempunyai 166 kerusi Parlimen melalui DAP dan parti politik yang berpangkalan di semenanjung.

“Kita tidak harus berikan kerusi Parlimen kita kepada parti Malaya kerana kita hanya mempunyai 25 kerusi berbanding mereka sebanyak 166,” katanya.

Jeffrey, yang juga merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan berkata, tempoh 11 bulan lepas menunjukkan bahawa parti semenanjung di Sabah, termasuk DAP, tidak boleh diharapkan dalam melindungi hak negeri.

Katanya, parti sedemikian gagal menunaikan janji pilihan raya mereka, selain gagal mengembalikan hak Sabah walaupun perlembagaan memperuntukkan bahawa Sabah berhak mendapat 40% hasil daripada kerajaan persekutuan.

“Sabah adalah tanah air kita. Rakyat Sabah harus menjaganya dan tidak bergantung pada orang luar untuk melindungi dan mempertahankannya.

“Warga Sabah perlu mengambil semula kawalan. KIta harus mengambil semula kunci rumah kita, dan tidak menyerahkannya kepada pihak luar.”

Beliau berkata, masyarakat Cina di Sabah dan Sarawak menikmati kedudukan yang unik kerana mereka diberikan hak istimimewa yang tidak diberikan kepada orang Cina di semenanjung, seperti hak ke atas hasil 40%.

“Hak dan keistimewaan Sabah di Malaysia terbuka kepada semua warga Sabah, tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan.

“Masanya telah tiba bagi rakyat Sabah, terutama orang Cina, khasnya pengundi di Sandakan, berfikir tentang generasi akan datang dan melindunginya,” kata Jeffrey.

PRK Sandakan menyaksikan pertandingan 5 penjuru antara Vivian Wong mewakili DAP/Pakatan Harapan (PH); naib presiden PBS, Linda Tsen dan 3 calon Bebas, iaitu Hamza Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat.

Kerusi berkenaan kosong berikutan kematian penyandangnya, pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong pada 28 Mac lepas.