Putrajaya lancar kempen ‘Ramadan Tanpa Pembaziran’

Mujahid Yusof Rawa (tengah) bergambar dengan Raja Kamarul Bahrin Shah (2 dari kanan), Mohamad Nordin Ibrahim (2 dari kiri), Azizan Baharuddin (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdul Aziz Jusoh (kiri) selepas melancarkan Marhaban Ya Ramadan peringkat kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kadar pembaziran tinggi dan peruntukan besar untuk pengurusan sisa pepejal setiap tahun mendorong kerajaan mengambil langkah proaktif mengadakan kempen “Ramadan Tanpa Pembaziran” tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata pembaziran di negara ini amat membimbangkan sehingga memberi kesan kepada kewangan negara yang terpaksa memperuntukkan lebih RM2 bilion untuk pengurusan sisa pepejal pada 2017.

“Menurut laporan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), rakyat di negara ini membuang 15,000 tan metrik makanan sehari dan 3,000 tan metrik daripadanya adalah makanan yang masih elok dan tidak sepatutnya dibuang.

“Tetapi, sisa buangan itu meningkat 15 hingga 20% pada Ramadan. Jadi, ubahlah sikap dan apabila ke bazar Ramadan, fikirlah 10 kali sebelum membeli kerana kita antara penyumbang kepada pembaziran melampaui batas sehingga boleh merosakkan alam sekitar,” katanya selepas melancarkan Marhaban Ya Ramadan peringkat kebangsaan hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Mohamad Nordin Ibrahim dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Azizan Baharuddin.

Mujahid berkata, kempen “Ramadan Tanpa Pembaziran” akan diterajui Jakim dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Kerjasama itu sebagai satu projek rentas bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat supaya tidak membazir, terutamanya pada Ramadan.”

Mujahid berkata, tabiat pembaziran makanan dalam kalangan umat Islam, khususnya pada Ramadan tidak selari prinsip Maqasid Syariah.

“Kita selalu dengar ungkapan jangan membazir, tetapi tidak pernah dikaji apa kesannya dalam kehidupan ini. Inilah dasar Maqasid Syariah kerana ia menjaga bukan hanya diri kita, tetapi juga orang lain dan seluruh warga dunia dan bumi yang didiami.”

Oleh itu, umat Islam perlu sentiasa peka terhadap setiap tindakan dan implikasinya supaya tidak melakukan perkara bertentangan syariat.

Beliau turut menyampaikan bantuan RM8.6 juta kepada 724 masjid dan surau di Wilayah Persekutuan sempena ketibaan Ramadan bulan depan dan watikah pelantikan kepada 960 amil di 74 pusat pungutan zakat di Wilayah Persekutuan.