TNB sedia teroka perniagaan prasarana gentian optik, kata Leo Moggie

Pengerusi TNB, Leo Moggie berkata, berdasarkan ujian perintis di Jasin, Melaka, sokongan kerajaan diperlukan sekiranya syarikat itu mahu memperkenalkan prasarana gentian optik di kawasan luar bandar. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersedia untuk menceburi perniagaan kesalinghubungan yang menyediakan prasarana gentian optik bagi jalur lebar kelajuan tinggi (HSBB), susulan kejayaan projek rintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Jasin, Melaka.

Pengerusinya Leo Moggie berkata, TNB melihat potensi perniagaan kesalinghubungan dan menimbang dengan berhati-hati untuk meneroka bidang itu.

“Kami agak bersedia menyertainya dengan cara berhemat di kawasan tertentu bagi inisiatif kesalinghubungan ini untuk kelajuan jalur lebar.

“Hasil di Jasin menunjukkan selagi kami tidak membenarkan akses pihak ke-3 melepasi tahap tertentu prasarana grid kami, kami berasa yakin bahawa keselamatan adalah dijamin,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama.

Moggie berkata, berdasarkan ujian perintis itu, sokongan daripada kerajaan diperlukan sekiranya syarikat itu mahu memperkenalkan prasarana gentian optik di kawasan luar bandar berikutan pelaburan besar yang diperlukan.

“Jika kita mahu pergi ke kawasan yang sama dengan (Jasin), kita perlu berbincang dengan kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat itu melihat ke kawasan bandar yang kurang akses internet kelajuan tinggi dan TNB boleh memainkan peranan tanpa membebankan kerajaan.

Beliau berkata, sebagai syarikat senaraian awam, TNB perlu menimbang pulangan daripada pelaburannya dalam perniagaan kesalinghubungan.

“Jika kita menyertainya, ia sepatutnya membawa kewajaran perniagaan kepada TNB,” katanya.

Katanya, memandangkan perniagaan itu memerlukan kepakaran yang sedikit berbeza daripada perniagaan terasnya menyediakan elektrik, syarikat itu juga perlu menimbang keupayaan sumber manusia untuk menguruskannya.

Projek rintis NFCP itu membolehkan 3 kawasan kediaman yang terdiri daripada 1,100 isi rumah menikmati kelajuan internet mencecah 1Gbps pada harga mampu milik menerusi pakej perkhidmatan jalur lebar yang ditawarkan oleh 8 penyedia perkhidmatan sedia ada.

Mengenai perkembangan lain, Moggie berkata, TNB menukarkan ibu pejabatnya di Bangsar menjadi ibu pejabat ala kampus yang dilengkapi dengan pusat Islam, pusat konvensional, pejabat masyarakat dan pusat interaktif.

Beliau berkata, ibu pejabat baru itu akan mempunyai persekitaran ala kampus, termasuk taman untuk kakitangannya.

“Konsep itu adalah untuk mencerminkan apa yang diharapkan oleh generasi lebih muda pada masa hadapan,” katanya.

Ibu pejabat baru itu akan menjadi sebuah bangunan diperakui indeks bangunan hijau (GBI) dengan penilaian Platinum GBI, yang dilengkapi dengan bumbung panel solar, sistem kutipan sisa buangan automatik, dinding berkaca, bumbung hijau dan sistem penuaian air hujan, antara lainnya.

Ibu pejabat itu dijangka siap pada 19 Mei, 2021, dan pusat Islam pada 31 Mei tahun ini.