Bekas pegawai khas menteri direman seleweng projek kementerian RM1.8 juta

SPRM menahan bekas pegawai khas menteri kerajaan terdahulu yang dikatakan menerima rasuah berhubung projek pembekalan peralatan pesawat bernilai RM1.8 juta pada 2017.

PUTRAJAYA: Seorang bekas pegawai khas kepada seorang bekas menteri di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu direman 3 hari bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan projek di sebuah kementerian termasuk pembekalan peralatan pesawat kira-kira RM1.8 juta.

Perintah reman terhadap Datuk itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin bermula hari ini hingga Khamis selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Lelaki berumur 50 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan.

Dia dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira 9 pagi tadi dengan berbaju lokap SPRM berwarna jingga dan tangan digari.

Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati suspek dikatakan menerima rasuah daripada beberapa kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan peralatan secara rundingan terus dengan sebuah kementerian, termasuk pembekalan peralatan pesawat dianggarkan bernilai RM1.8 juta sekitar 2017.