Doktor HKL akan dipanggil semula beri keterangan dalam inkues Adib

Dr Ahmad Hafizam Hasmi ialah pakar forensik HKL yang menjalankan bedah siasat ke atas Muhammad Adib Mohd Kassim.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pegawai pengendali inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim untuk menerbalikkan keputusan Mahkamah Koroner bagi memanggil semula seorang pakar forensik memberi keterangan.

Hakim, Ab Karim Ab Rahman berkata Dr Ahmad Hafizam Hasmi dari Hospital Kuala Lumpur perlu menjelaskan isu tertentu yang dibangkitkan bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Shahrom Abd Wahid.

“Bagi saya, keterangan beliau (Hafizam) bukan untuk membuktikan Shahrom silap, tetapi untuk menjelaskan teori yang dibentangkan pakar forensik itu.”

Katanya, koroner tidak boleh terlepas sebarang bukti sebelum membuat keputusan.

Peguam, Kamaruzaman A Wahab yang mewakili keluarga Adib berkata, mereka akan memfailkan rayuan terhadap semakan semula keputusan itu.

Minggu lalu, Mahkamah Koroner menolak permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula Hafizam memberi keterangan dalam inkues itu.

Hafizam dan penyelianya, Dr Mohd Shah Mahmood, sebelum ini memberitahu inkues, mereka percaya Adib mungkin keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, dan kecederaan anggota bomba itu bukan berpunca daripada serangan.

Hafizam dan Shah melakukan bedah siasat ke atas Adib.

Bagaimanapun, Shahrom dilaporkan berkata, Adib mungkin ditarik keluar dari van dan pintu penumpang van itu terlanggar bahagian kanan dadanya.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya, Hamdan Hamzah memberitahu Mahkamah Tinggi yang Hafizam perlu menjelaskan isu tertentu.

Beliau merujuk kecederaan “seperti bentuk tiga segi” di dada Adib dan teori Shahrom bagaimana orang ramai di sekelililing van ketika rusuhan berlaku, menolak belakang badan anggota bomba itu ke arah pintu van EMRS.

Tetapi, Kamaruzaman dan Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertegas tiada keperluan memanggil semula Hafizam kerana beliau sudah disoal secara mendalam.

Adib, 24, antara anggota EMRS dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dikerahkan ke luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, selepas beberapa kereta dibakar pada 27 November lalu.

Beliau meninggal dunia 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.

Putrajaya memutuskan untuk mengadakan inkues ini susulan dakwaan bercanggah mengenai punca kematian Adib.

Koroner sebelum ini menetapkan 10 Mei sebagai tarikh sebutan terhadap keputusan rayuan dibuat Mahkamah Tinggi.