Kenapa pekebun kecil getah Sarawak tak dapat bantuan RM600, soal PBB

Kerajaan mengumumkan 70,000 pekebun kecil getah di Sabah akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600.

PETALING JAYA: Dua pemimpin kanan PBB mengkritik Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM42 juta untuk membantu pekebun kecil getah di Sabah, mengatakan bantuan itu juga harus diberikan kepada mereka di Sarawak.

Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata wang di Perbendaharaan bukan milik ahli politik atau mana-mana parti politik tetapi milik semua rakyat Malaysia.

“Sarawak menyumbang sejumlah besar wang kepada tabung kerajaan melalui sumber minyak kami, tetapi kami rasa didenda apabila pekebun kecil getah kami tidak mendapat bantuan yang sama seperti di Sabah,” katanya.

Beliau mempersoalkan sama ada kerajaan negeri Sarawak tidak ditadbirkan oleh Pakatan Harapan. “Ini tidak kelihatan adil,” katanya.

Wan Junaidi yang juga bekas menteri persekutuan, berkata kerajaan persekutuan yang dipimpin Barisan Nasional sebelum ini sering memberi bantuan kepada semua negeri, tidak kira sama ada negeri ditadbirkan BN atau lawan politik.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“BR1M, bantuan kepada nelayan, petani, projek-projek… tidak kira sama ada di Pahang, Kelantan atau Pulau Pinang. Selagi mereka rakyat Malaysia, mereka menerima bantuan.

“Apabila anda kerajaan, anda tidak boleh memilih untuk membantu sesiapa, anda perlu memberi bantuan di mana ia diperlukan.”

Menteri Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata bantuan tambahan yang diberikan kepada Sabah, dan bukan kepada Sarawak adalah sama seperti menghukum pekebun kecil di negeri itu kerana ia ditadbir pesaing politik Pakatan Harapan.

Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Lim perlu belajar untuk menjadi menteri kepada semua rakyat Malaysia, membantu semua orang tanpa mengira sama ada mereka ditadbir PH atau sebaliknya,” kata Karim, yang juga menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak.

Minggu lalu, Lim mengumumkan 70,000 pekebun kecil getah di Sabah akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600 melibatkan peruntukan tambahan kira-kira RM42 juta yang diluluskan Kementerian Kewangan.