Muhyiddin: Syabu, pil kuda paling banyak disalah guna belia

Seramai 85,575 belia yang berumur antara 19 hingga 39 tahun dikesan menjadi penagih dadah bagi 2014 hingga 2018. (Gambar AFP)

BANGI: Seramai 85,575 orang belia yang berumur antara 19 hingga 39 tahun dikesan menjadi penagih dadah bagi 2014 hingga 2018, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata jumlah itu adalah daripada 116,206 orang penagih dadah yang dikesan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi tempoh 5 tahun berkenaan.

“Golongan belia adalah golongan yang paling ramai terlibat penyalahgunaan dadah. Jika ia tidak dibendung, negara kita akan mengalami kerugian tenaga belia.

“Mereka (golongan belia) yang seharusnya produktif membangunkan negara, terpaksa menanggung pelbagai masalah sosial akibat penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan di Dewan Seri Akasia, Ibu Pejabat AADK.

Muhyiddin berkata trend penyalahgunaan dadah di negara ini konsisten dengan trend dunia dan serantau.

“Daripada Januari hingga Disember lepas, dadah jenis methaphetamine seperti syabu dan pil kuda adalah jenis dadah yang paling banyak disalah guna iaitu sebanyak 61.9% daripada keseluruhan dadah.

“Ia juga diikuti dadah jenis heroin sebanyak 23.3% dan trend ini agak berbeza daripada 2017 yang mana heroin lebih banyak digunakan berbanding methamphetamine,” katanya.

Muhyiddin berkata dalam konteks ini, peranan keluarga amat penting mencegah golongan remaja daripada terlibat dengan gejala dadah.

Beliau berkata banyak kajian menunjukkan pengawasan dan sikap mengambil peduli tentang aktiviti anak-anak serta ahli keluarga boleh mencegah mereka terjebak gejala berisiko.

Muhyiddin berkata antara usaha memerangi dadah ialah membuat pengekalan kepulihan klien Orang Kena Pengawasan (OKP) di dalam komuniti.

“Berdasarkan pemantauan dan penilaian AADK, didapati kadar kepulihan bekas-bekas klien yang menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti untuk tempoh 2 tahun, adalah seramai 8,449 orang atau 55% daripada 15,249 OKP yang dinilai.

“Ini melebihi sasaran 40% yang ditetapkan dalam Petunjuk Prestasi Utama kementerian ini bagi tahun lepas,” katanya.

Muhyiddin berkata untuk membantu bekas penagih dadah pulih sepenuhnya, stigma terhadap penagih dadah yang dirawat harus dikikis.

Beliau berkata pada tahun lepas sahaja, seramai 4,654 orang klien dibebaskan dari pusat pemulihan.

“Untuk mengekalkan kepulihan dan membolehkan mereka diterima masyarakat, sokongan komuniti setempat amat penting dalam menerima mereka ini agar tidak mengulangi penagihan apabila merasakan diri mereka tersisih.

“Pencegahan penagihan berulang antara komponen rawatan dan pemulihan dadah yang penting. Statistik menunjukkan sejak 2014 hingga Disember lepas, hanya 25% kes dikesan merupakan penagih dadah berulang,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah AADK Zulkifli Abdullah.