Pengikut dalang bom Sri Lanka ditahan kerana rancang serang Kerala

Riyas Aboobacker mendakwa dirinya mengikuti ucapan dan rakaman video ketua pengeboman di Sri Lanka, Zahran Hashim lebih setahun.

NEW DELHI: Seorang lelaki mendakwa dirinya pengikut ketua pengeboman di Sri Lanka, Zahran Hashim akan dihadapkan ke mahkamah di selatan India hari ini selepas mengaku mahu melancarkan serangan di Kerala, kata penyiasat.

Tertuduh yang dikenali sebagai Riyas A atau Riyas Aboobacker, 29, ditahan Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) yang menangani kes anti-keganasan, semalam.

NIA dalam satu kenyataan berkata, ketika disoal siasat, tertuduh dikatakan “mendedahkan dia mengikuti ucapan/video Zahran Hashim di Sri Lanka lebih setahun”.

Katanya, “dia mengaku mahu melancarkan serangan berani mati di Kerala”, sebuah negeri di selatan India.

Hashim ialah pendakwah Islam di Sri Lanka yang mengetuai serangan berani mati ke atas beberapa gereja dan hotel di sekitar Colombo pada 21 April lalu yang meragut 253 nyawa.

Sumber tentera berkata, Hashim tidak pernah ke Syria atau Iraq, tetapi pernah ke negeri Tamil Nadu yang bersempadanan dengan Kerala dan berhubung dengan kumpulan Islam di sana.

Hashim turut muncul dalam satu rakaman video dikeluarkan kumpulan IS yang menunjukkan beliau mengetuai individu lain berikrar taat setia kepada ketua IS, Abu Bakr al-Baghdadi.

IS mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di Sri Lanka lebih seminggu lalu.

India memberi amaran kepada Sri Lanka, serangan berani mati mungkin berlaku beberapa minggu sebelum Hashim dan pengebom lain melancarkan serangan mereka.

NIA berkata, Riyas ditahan kerana “berkomplot melakukan keganasan” berkaitan satu kes pada 2016 terhadap seorang lelaki India yang diburu bersama beberapa individu lain kerana meninggalkan India untuk menyertai IS di luar negara.

Katanya, Riyas mendakwa ada berhubung dengan suspek itu dan mendengar klip audionya, termasuk yang “menghasut individu lain untuk melancarkan serangan ganas di India”.