Transaksi hartanah meningkat sedikit pada 2018, kata Guan Eng

Pasaran hartanah agak suram dalam beberapa tahun lepas.

BANGI: Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata jumlah dan nilai transaksi hartanah meningkat sedikit pada 2018.

“Terdapat 313,710 transaksi hartanah pada 2018 bernilai RM140.3 bilion yang menunjukkan kenaikan 0.6% dari segi jumlah dan 0.3% dari segi nilai berbanding 2017,” katanya pada pelancaran Laporan Pasaran Hartanah 2018, hari ini.

Pasaran hartanah agak suram dalam beberapa tahun lepas, mencatatkan penurunan dari segi jumlah dan nilai transaksi hartanah sejak 2015.

Bagaimanapun, Lim berkata, beliau berharap sektor hartanah akan bertambah baik secara berperingkat tahun ini dengan pengenalan Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

Melalui kempen itu, kerajaan mengecualikan duti setem ke atas dokumen pemindahan bagi hartanah bernilai antara RM300,000 hingga RM2.5 juta.

Pengecualian duti setem 100% hanya layak untuk RM1 juta pertama. Duti setem 3% akan dikenakan daripada bakinya.

Lim berkata, kerajaan juga mengecualikan duti setem bagi perjanjian pinjaman untuk hartanah bernilai RM300,000 hingga RM2.5 juta.

Kempen tersebut, yang berlangsung dari Januari hingga 30 Jun depan, menyaksikan pembeli rumah diberi diskaun 10% untuk hartanah yang diperakui Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda).

“Jumlah unit baru dilancarkan pada 2018 menurun 14.9% kepada 66,040 berbanding 77,570 pada 2017,” katanya.

Hartanah kediaman yang tidak dijual semakin buruk pada 2018 iaitu sebanyak 30.6% dengan 32,313 rumah bernilai RM19.8 bilion tidak dijual.

Lim berkata, beliau yakin pemulihan seterusnya pada tahap semakin baik dalam sektor hartanah memandangkan kerjaan menyasarkan pertumbuhan 4.9% Kadar Dalam Negara Kasar pada 2019 berbanding 4.7% pada 2018.