Saya gembira idea kereta terbang dikritik ramai, kata menteri

Redzuan Md Yusof berkata, kempen akan diadakan untuk menjelaskan idea kereta terbang bagi mendapatkan lebih banyak maklum balas orang ramai.

PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof gembira cadangan menghasilkan kereta terbang mendapat perhatian ramai, walaupun dikritik pelbagai pihak.

“Saya amat gembira apabila macam-macam kritikan yang saya dengar dan kita ambil maklum perkara itu secara positif.

“Ini untuk memahami apakah tahap pengetahuan rakyat Malaysia, sama ada boleh mendekati mereka ini untuk sama-sama bangunkan guna kaedah teknologi baru atau kita boleh ubah,” katanya dalam temubual bersama sebuah program televisyen malam ini.

Mac lalu, Redzuan dilaporkan berkata, kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu teknologi tempatan dan prototaipnya dijangka diperkenalkan tahun ini.

Katanya, pembangunan kereta terbang itu bakal menarik pelaburan luar dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya dalam bidang kejuruteraan.

Hari ini, Redzuan berkata, beliau akan menyediakan kempen untuk menjelaskan idea kereta terbang untuk mendapatkan lebih banyak maklum balas orang ramai.

Kereta nasional ke-3

Redzuan berkata, agenda kereta nasional ke-3 bertujuan membangunkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan.

“Kalau kita tengok kebanyakan negara maju, ‘basic’ kepakaran dia melibatkan kejuruteraan.

“Ia adalam ilmu kepada segala pembuatan. Dengan adanya satu naratif kereta nasional ke-3 akan merangsangkan industri dari segi teknologi pembuatan dan rangkaian tertentu di seluruh dunia.”

Jun tahun lalu, perdana menteri menyuarakan hasrat mewujudkan projek kereta nasional ke-3 untuk menggantikan Proton yang tidak dianggap sebagai jenama nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat China, Geely.

Dr Mahathir Mohamad turut menempelak pengkritik projek itu yang bertujuan memberi peluang anak tempatan mempelajari teknologi kejuruteraan automotif terbaru.

Katanya, China maju dalam masa singkat kerana ia menceburi industri automotif.