TPM baru beri bayangan jadi PM Singapura dalam ucapan Hari Pekerja

Heng Swee Keat dilantik sebagai timbalan perdana menteri Singapura pada bulan lalu. (Gambar Reuters)

SINGAPURA: Timbalan perdana menteri Singapura yang baru memberi bayangan mengenai peranannya dalam kepimpinan negara masa depan menerusi ucapannya untuk menyokong gerakan buruh di negara itu seperti ikrar beberapa perdana menteri terdahulu.

Kenyataan Heng Swee Keat itu dibuat pada perhimpunan sempena Hari Pekerja di republik itu – ucapan yang dibuat Perdana Menteri, Lee Hsien Loong sejak beberapa tahun lalu.

Heng, 57, dilantik ke jawatan penting dalam parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan timbalan perdana menteri bulan lalu.

Langkah itu menguatkan jangkaan beliau akan mengambil alih kuasa kepimpinan daripada Lee, anak kepada Bapa Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew, yang dijangka berundur dalam beberapa tahun lagi.

“Hari ini kali pertama saya berucap di depan anda sebagai pemimpin PAP bagi generasi akan datang,” kata Heng yang mula bertugas hari ini.

“Hari ini, saya memperbaharui ikrar dibuat Encik Lee (Kuan Yew) 50 tahun lalu dan diperbaharui setiap perdana menteri sejak itu. Saya memberi jaminan kepada anda hubungan simbiotik rapat antara PAP dan NTUC (gerakan buruh) akan diteruskan.”

Katanya, Singapura perlu mengubah ekonominya untuk menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi, mempersiapkan tenaga kerja bagi pekerjaan masa depan dan meneruskan pertumbuhan inklusif.