Bagaimana Zamri Vinoth berdepan masalah ketika kritik orang Islam ‘pentingkan diri’

Zamri ditahan atas dakwaan menghina agama Hindu sewaktu menyampaikan satu ceramah yang banyak mengkritik orang Islam di sebuah masjid di Kelantan 30 Disember tahun lalu.

PETALING JAYA: Pendakwah Muhammad Zamri Vinoth berdepan masalah dengan undang-undang kerana beliau dilihat membuat rujukan sepintas lalu tentang amalan agama Hindu yang “tidak logik” dalam satu ceramah yang lebih banyak mengkritik orang Islam sendiri.

Ketua kumpulan yang membuat laporan polis pertama terhadap beliau, Arun Doraisamy memberitahu FMT, penganut Hindu berasa terhina dengan kenyataan Zamri bahawa mereka menyembah banyak tuhan.

Dalam ceramah tersebut, Zamri berkata, salah satu sebab beliau meninggalkan agama Hindu adalah kerana beliau tidak dapat menerima kepercayaan kepada “330 juta tuhan” dan “penyembahan objek diperbuat daripada batu yang diberikan makanan”.

Zamri ditahan Ahad lepas atas dakwaan menghina agama Hindu sewaktu menyampaikan satu ceramah di sebuah masjid di Kelantan pada 30 Disember tahun lalu.

Dalam ceramah tentang tanggungjawab orang Islam memperkenalkan Islam kepada orang lain, beliau merujuk kepada kekecewaannya sendiri kerana gagal mengislamkan keluarga dan kawan rapatnya.

Zamri berkata, sesetengah mereka mempunyai akhlak lebih baik daripada orang Islam. “Saya rasa mereka tidak patut pergi ke neraka,” katanya.

Beliau mengkritik orang Islam yang tidak mahu berdakwah dan menyifatkan mereka “mementingkan diri sendiri”, selain menempelak orang Islam yang sikap mereka menjauhkan orang bukan-Islam.

Katanya, “tuan-tuan baca tak laporan surat akhbar ada 2 orang bukan-Islam yang nak masuk masjid, tok siak kejar dengan penyapu?”

Zamri juga bercakap tentang orang Islam yang cuba menghalang orang bukan-Islam daripada mendekati mereka kerana mengajukan soalan yang tidak dapat dijawab disebabkn kegagalan mereka mendidik diri sendiri tentang Islam.

“Orang bukan Islam kalau tanya tentang Islam, mereka tidak tanya soalan mudah-mudah,” katanya. “Dia akan tanya soalan yang kritikal bagi dia. Contoh dia akan tanya soalan, ‘kenapa Rasulullah kahwin dengan Aisyah ketika umur Aisyah 9 tahun?’ Bagaimana kita mahu jawab soalan itu?”

Sesetengah orang Islam yang tidak berilmu katanya, akan membuat kenyataan agresif seperti, “kau bukan Islam. Kau tak perlu sibuk tentang Islam.”

Beliau berkata, ramai orang Islam tidak menghayati ajaran sebenar Islam dalam kehidupan mereka.

“Cuba tuan-tuan bayangkan jika orang bukan Islam tengok orang Islam di Malaysia. Tuan-tuan rasa dia akan dekat dengan Islam atau jauh daripada Islam?”

Arun, yang mengetuai kumpulan penganut Hindu bernama Agaman Ani Malaysia berkata, kenyataan menghina agama Hindu oleh Zamri “tidak ada tempat di Malaysia yang aman”.

Beliau juga mengkritik pendirian Mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin berhubung isu tersebut dan menyifatkannya sebagai “penghinaan” terhadap institusi mufti.

Penahanan Zamri mendorong Asri menulis di Facebook dengan menyebut tentang “realiti politik sekarang” yang membenarkan orang Islam dibuli.

Beliau menuduh Putrajaya mengamalkan pilih kasih dengan berkata, ia tidak bertindak terhadap pemimpin kerajaan yang membuat kenyataan yang menghina orang Islam.

“Pelbagai kenyataan yang dibuat oleh individu yang berada dalam kerajaan hari ini yang menghina umat Islam dan menimbulkan ketegangan kaum, mereka hanya dipanggil untuk beri keterangan,” tulisnya.