Kegunaan beg udara betul dapat selamatkan nyawa

Gambar autoweek.com.

Beg udara disertai dengan tali pinggang keledar riba dan bahu banyak menyelamatkan nyawa dan menghalang kecederaan dalam kemalangan kenderaan bermotor.

Ia direka khas untuk bertindak serta merta akibat hentakan yang kuat lalu membentuk kusyen udara bagi melindungi kepala dan dada pemandu atau penumpang melentok ke hadapan.

Beg udara selalunya terdapat di tengah stereng atau di tempat simpanan barang di hadapan penumpang bersebelahan pemandu.

Walau bagaimanapun, terdapat kemusykilan mengenai keselamatan beg udara.

Sebagai contohnya, kanak-kanak yang duduk di kerusi hadapan boleh mengalami kecederaan serius atau terkorban apabila beg udara terkeluar semasa kemalangan.

Untuk mengurangkan jumlah kecederaan dan kematian akibat kombinasi beg udara dan kedudukan penumpang terutamanya kanak-kanak, yang tidak betul, pemandu mestilah sedar akan kaedah keselamatan yang betul.

FUNGSI BEG UDARA

Gambar autoweek.com.

Beg udara direka untuk impak hentakan hadapan yang merupakan hampir separuh daripada punca kematian penumpang kenderaan.

Beg udara direka untuk mengurangkan kecederaan kepala dan dada.

Bagaimanapun, ia hanyalah tambahan dan bukannya pengganti kepada tali pinggang keledar.

FAEDAH

Pada tahun 1999, di Amerika Syarikat sahaja, anggaran 1,263 nyawa terselamat kerana beg udara.

Statistik A.S menunjukkan risiko kematian akibat impak hadapan dapat dikurangkan sebanyak 30 peratus melalui penggunaan beg udara.

Ujian pelanggaran di Australia menunjukkan risiko kecederaan kepala yang serius dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus atau lebih bagi kebanyakan kereta bersaiz keluarga.

BAGAIMANAKAH IA BERFUNGSI

Untuk berfungsi, beg udara terkeluar dari papan pemuka dengan sekelip mata:

  • Dalam jangka masa 15 hingga 20 milli-saat selepas impak, pengesan hentakan dan unit kawalan menentukan tahap kekerasan pelanggaran dan menentukan sama ada beg udara perlu dikeluarkan.
  • Pada anggaran 25 milli-saat, beg udara membelah pad pelindung pada tempat yang telah ditetapkan dan mula mengembung dengan pantas.
  • Pada anggaran 45 milli-saat, beg tersebut akan mengembung sepenuhnya manakala penumpang yang memakai tali pinggang keledar masih bergerak ke hadapan.
  • Selepas anggaran 60 milli-saat, penumpang tersentuh beg udara yang akan mula kempis melalui lubang-lubang di bahagian belakang.
  • Dalam masa anggaran 100 milli-saat, penumpang akan terus terbenam ke dalam beg udara yang bertindak sebagai kusyen bagi kepala dan dada semasa ia sedang kempis.

Oleh itu beg udara tersebut bertindak sebagai pelindung di antara penumpang dengan permukaan keras dalaman kereta.

RISIKO

Semasa membrek sebelum berlakunya pelanggaran, pemandu atau penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar mungkin akan tercampak ke papan pemuka yang berhampiran dengan tempat beg udara.

Mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar atau tidak memakainya dengan betul (hanya memakai bahagian riba sahaja) boleh mengalami kecederaan serius atau maut apabila beg udara terkeluar.

LANGKAH KESELAMATAN

Pemandu perlu mengelakkan kecederaan yang berkaitan dengan beg udara terhadap orang dewasa dan kanak-kanak dengan mematuhi langkah-langkah keselamatan kritikal yang berikut:

BAGI KANAK-KANAK

  • Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah perlu duduk di belakang dengan memakai tali pinggang keledar.
  • JANGAN sekali-kali meletakkan bayi di dalam kerusi keselamatan yang menghadap belakang di kerusi penumpang hadapan yang mempunyai beg udara.
  • Kanak-kanak kecil perlu duduk di kerusi belakang di dalam kerusi keselamatan yang sesuai dengan umur dan saiz mereka.
  • Sekiranya kanak-kanak berumur lebih setahun perlu duduk di kerusi penumpang hadapan yang mempunyai beg udara, letakkan kanak-kanak tersebut di dalam kerusi keselamatan menghadap depan, kerusi booster, atau pakaikan tali pinggang keledar yang betul– SERTA alih kerusi sejauh mungkin ke belakang.

BAGI ORANG DEWASA

  • Semua orang hendaklah memakai tali pinggang keledar di bahagian riba dan bahu dalam setiap perjalanan.
  • Tali pinggang bahagian riba hendaklah diletakkan di bawah abdomen dan rendah di pinggang. Bahagian bahu hendaklah terletak pada tulang selangka jauh dari leher dan menyilang tulang dada.
  • Tali pinggang bahagian bahu dalam kebanyakan kereta baru boleh diselaraskan pada bahagian tepi supaya lebih sesuai.
  • Pemandu dan penumpang yang duduk di hadapan hendaklah duduk sejauh mungkin, mengikut kesesuaian, terutamanya bagi mereka yang mengandung atau mereka yang pendek.

Faedah beg udara adalah terbaik sekiranya semua orang memakai tali pinggang keledar dan kanak-kanak didudukkan dengan cara yang betul di bahagian belakang.

Semua penumpang kereta yang mempunyai beg udara hendaklah sedar akan potensi bahaya dan menentukan mereka duduk dengan betul.

Anda dapat membantu menyedarkan komuniti anda dengan fakta ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]