Kerajaan bayar lebih RM1 juta pada Najib selepas tersingkir, kata saksi

KUALA LUMPUR: Najib Razak terima lebih RM1 juta sebagai bayaran khas daripada kerajaan selepas kerajaannya tersingkir pada Mei tahun lepas, kata saksi kepada Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pengubahan wang dan pecah amanah hari ini.

Zarinah Yusuf.

Timbalan ketua akauntan di Jabatan Perdana Menteri, Zarinah Yusuf berkata, bekas perdana menteri itu menerima RM1,017,014.39 pada Mei sebagai bayaran khas kepada semua perdana menteri yang akan melepaskan jawatan.

Bagi 9 hari terakhirnya di pejabat, dia dibayar secara pro-rate sebanyak RM6,627.09 sebagai gaji.

Sebagai perdana menteri, Najib dibayar gaji RM22,826.65, di samping RM16,000 sebagai ahli Parlimen Pekan, dan RM3,846 sebagai ketua Dewan Rakyat.

“Jumlah gaji bulanannya termasuk elaun lain ialah RM58,605.15,” kata Zarinah ketika disoal timbalan pendakwa raya Muhammad Izzat Fauzan.

Farah Nurdiana Azhar.

Seorang lagi saksi, kakitangan Parlimen, Farah Nurdiana Azhar berkata seorang ahli Parlimen berhak menerima RM27,700 sebagai elaun.

“Bagaimanapun, sejak Januari 2015, ahli Parlimen yang juga anggota pentadbiran hanya dibayar RM16,000,” katanya.

Mahkamah juga diberitahu sebagai seorang timbalan perdana menteri dari Januari hingga Mac 2009, pendapatan bulanan Najib adalah RM48,681.65 termasuk RM18,168,18 gaji bulanan.

Kedua-dua saksi berkata gaji dan elaun diremit ke akaun Najib di Bank Affin.

Najib, 66, berdepan 3 pertuduhan pecah amanah, 1 pertuduhan salah guna kedudukan dan 3 pertuduhan pengubahan wang berkaitan dana SRC Internatioanl Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.