Putera Mahkota Arab Saudi batalkan hasrat beli Kelab Manchester United

Hasrat Putera Mahkota Arab Saudi, Sheikh Mohammed Salman untuk memiliki kelab popular Liga Perdana Inggeris, Manchester United tidak menjadi kenyataan setelah keluarga Glazer enggan menjual kelab tersebut.

Avi dan Joel Glazer, pemilik kelab Liga Perdana Inggeris itu ketika ini menolak secara tegas sebarang usaha pengambilalihan kerana mahu mengambil pendekatan lebih lanjut di Old Trafford, lapor akhbar Britain, The Sun.

Putera Mohammed sebelum ini dilaporkan mengemukakan tawaran lumayan 3.8 bilion pound (RM20.34 bilion) untuk membeli United, bukanlah jumlah yang terlalu besar buatnya yang dikatakan memiliki kekayaan mencecah 850 bilion pound (RM4.6 trilion).

Beliau dikatakan telah bertemu Pini Zahavi, ejen yang membantu Roman Abramovich mengambil alih Chelsea pada 2003, Februari lalu bagi membincangkan usaha membeli United.

Keluarga Glazer yang mengambil alih United pada 2005 kini di bawah tekanan hebat ekoran kegagalan mendapatkan pengganti terbaik Alex Ferguson sejak pengurus legenda itu bersara pada 2013.

Peminat juga kecewa kerana United sudah ketinggalan terlalu jauh di belakang Manchester City sejak musuh sebandar mereka itu diambil alih oleh jutawan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mansour Zayed al-Nahyan pada 2008.

Kedudukan Ed Woodward sebagai Naib Pengerusi Eksekutif United juga dipercayai tidak tergugat sekalipun ramai yang mempertikaikan kemampuannya ekoran prestasi buruk Red Devils sejak beberapa musim ini.

Ahad lalu, United seri 1-1 dengan Chelsea, sekali gus menyukarkan peluang untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer kini mengharungi empat perlawanan terakhir tanpa kemenangan (semua pertandingan).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]