UM universiti tempatan pertama capai 40 universiti terbaik Asia

Universiti Malaya menduduki tangga ke-38 universiti terbaik Asia tahun ini daripada 46 tahun lepas.

PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) menjadi universiti tempatan pertama tersenarai dalam kelompok 40 universiti terbaik di Asia dalam penarafan terbaru yang dikeluarkan oleh badan penilai pencapaian universiti seluruh dunia, Times Higher Education (THE).

Dalam Penarafan Universiti Dunia 2019, Universiti Malaya berada pada kedudukan 38, daripada 46 tahun lepas, dalam kalangan lebih 400 universiti Asia, walaupun ia kekal dalam kelompok 301-350 terbaik dalam senarai 1,000 universiti dunia.

Universiti tempatan lain dalam senarai tersebut ialah Universiti Teknologi Petronas pada kedudukan 98 dalam senarai Asia, Universiti Tunku Abdul Rahman (111), Universiti Teknologi Malaysia (125) dan Universiti Sains Malaysia pada kedudukan 150, yang dikongsinya dengan Universiti Sains Perubatan Mashhad, Iran.

Majoriti universiti yang berada pada kedudukan 10 teratas terletak di China. Universiti Tsinghua merampas kedudukan teratas daripada Universiti Nasional Singapura, yang berada di tempat ke-2 Asia dan ke-23 dunia.

Universiti terkemuka Barat terus berada di tangga teratas senarai dengan Universiti Oxford di tempat pertama, diikuti Universiti Cambridge dan Universiti Stanford.

Universiti China mencatatkan peningkatan besar dalam penarafan dunia, yang menurut THE disebabkan rancangan besarnya untuk bekerjasama dengan universiti asing sebagai sebahagian daripada inisiatf Belt & Road negara itu.

“Walaupun strategi pendididkan China umumnya bersandarkan fokus pada persaingan, dengan pelbagai inistaitif kecemerlangan menyaksikan pertambahan dana kepada institusi terpilih sepanjang 2 dekad lepas, namun perkembangan terbaru paling menarik di negara itu ialah inisiatif sedemikian kini lebih berdasarkan kerjasama,” katanya.

Penarafan THE menggunakan 13 petunjuk pencapaian, dan universiti dinilai dari segi pengajaran, penyelidikan, pindahan pengetahuan dan dampak antarabangsa.