Ambiga beri PH 6 daripada 10 mata

Ambiga Sreenevasan.

KUALA LUMPUR: Seorang peguam kanan dan aktivis politik yang kerap mengkritik Pakatan Harapan (PH) mengakui dalam tempoh setahun berkuasa, pakatan itu telah mengambil beberapa langkah maju bagi kepentingan demokrasi, tetapi berkata kemajuannya mula perlahan sejak kebelakangan ini.

Dalam skala 1 ke 10, “saya beri PH 6 mata setakat hari ini,” kata Ambiga Sreenevasan kepada FMT dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata, PH membubarkan Biro Tatanegara (BTN) sebaik saja ia mengambil alih kuasa. “Itu langkah berani,” katanya.

Beliau juga merujuk kepada pelantikan penting bagi menguatkan badan kehakiman dan Jabatan Peguam Negara.

“Jangan lupa kita juga mempunyai Suruhanjaya Pilihan Raya yang lebih baik dan kuat sekarang. Ini bermakna pilihan raya kita terjamin.”

Ambiga merupakan seorang daripada pengasas badan pemantau pilihan raya, Bersih. Beliau merupakan pengerusinya yang pertama. Beliau kini adalah anggota Jawatankuasa Reformasi Institusi yang dilantik oleh kerajaan.

Beliau bercakap tentang bagaimana rakyat Malaysia kini kurang takut untuk menyuarakan pandangan mereka berbanding ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa, tetapi berkata “udara kebebasan” yang dinikmati itu berasa sedikit kurang enak kerana Akta Hasutan masih berkuatkuasa.

Ambiga berkata, beliau akan terus mendesak PH supaya menunaikan janjinya berhubung pembaharuan.

“Saya tahu ramai orang beranggapan saya terlalu banyak mengkritik, tetapi ia perlu kerana jika perubahan tidak dilakukan dengan segera dalam tempoh setahun atau lebih sedikit, kita akan menjadi leka dan ia (perubahan) tidak akan berlaku.”

Beliau berkata, PH membuat “perubahan positif itu” dengan cepat selepas memenangi pilihan raya umum tahun lepas, tetapi ia kini berdepan risiko kehilangan sokongan umum berikutan kehilangan momentum perubahan tersebut.

Beliau menyebut pusingan U berhubung janji dan keputusan kerajaan seperti penghapusan hukuman mati, memansuhkan Akta Hasutan dan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom.

Beliau berkata, pusingan U sedemikian memperlihatkan seolah-olah kerajaan “tidak mengurus keadaan dengan baik”.

Ambiga mengakui ramai anggota kerajaan yang bekerja kuat, dengan sesetengah menteri “bertungkus-lumus mencurah tenaga mereka”.

“Bagaimanapun saya fikir mereka perlu lebih berwibawa dan lebih serius tentang pembaharuan,” katanya.

Beliau memuji kerajaan kerana langkah segeranya menarik balik undang-undang berkaitan berita tidak benar, tetapi mengingatkan bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan masih berkuatkuasa dan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis masih belum ditubuhkan.

Katanya Putrajaya perlu menggariskan rancangan pembaharuannya dengan lebih jelas.

“Hanya dengan demikian anda boleh berkata, ‘Kami akan lakukan ini’, dan rakyat boleh berkata, ‘Kami tahu kamu akan lakukan itu pada tarikh itu. Jadi kami tidak akan mendesak’.”

Beliau menggesa kerajaan supaya memaklumkan rancangan pembaharuannya untuk tahun depan.

Ambiga juga berkata, anggota pentadbiran perlu mempertingkat kemahiran komunikasi dan perhubungan awam mereka.

“Kadang-kadang kita mendengar menteri bercakap perkara yang tidak berapa bijak. Saya tahu ada yang bekerja secara diam-diam, tetapi kita tidak tahu apakah yang mereka buat. Mereka tidak tahu bagaimana hendak mengiklankan pencapaian mereka.”

Beliau merakamkan keyakinan bahawa PH boleh berbuat lebih baik, tetapi pada masa sama mengingatkan bahawa “seluruh dunia” kini menunggu-nunggu untuk berkata demokrasi tidak ada tempat di Malaysia.

“Ramai orang di luar Malaysia akan bergembira jika kita gagal,” katanya. “Justeru kita perlu menunjukkan bahawa demokrasi ada tempat di sini, seperti yang berlaku di Indonesia.”

Bagaimanapun kata beliau, PH harus dipuji kerana menjadikan Malaysia contoh sebuah demokrasi yang sedang berjalan. “Saya mahu kita menjadi contohnya yang cemerlang.”