Dr M tak yakin dengan RTS, belum pasti akan diteruskan

KUALA LUMPUR: Perdana menteri tidak yakin projek Sistem Transit Rapid (RTS) boleh menyelesaikan masalah trafik yang dihadapi Malaysia dan Singapura di Tambak Johor, dan Putrajaya belum buat keputusan untuk meneruskan laluan kereta api sepanjang 4km itu.

Dr Mahathir berkata kerajaan bersetuju untuk mengambil masa 6 bulan untuk mengkaji semula projek berkenaan, sama ada meneruskannya atau lihat cadangan lain.

“Namun sudah jelas, RTS tidak akan selesaikan masalah trafik yang dihadapi antara Malaysia dan Singapura,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan hari ini.

Beliau menjelaskan kereta api tidak boleh mengangkut semua penumpang dari Malaysia ke Singapura, kerana kereta api mempunyai kapasiti yang terhad.

Mahathir ditanya pemberita mengenai status projek itu, susulan laporan mengatakan 1 daripada 5 plot tanah untuk projek RTS dipindahkan kepada Sultan Johor.

Ditanya kesahihan laporan itu, Mahathir berkata sekiranya tanah itu memang benar dibeli, maka kerajaaan akan bayar semula.

“Tetapi jika ia tidak dibayar maka kita tidak akan bayar. Hal ini kerana itu tanah kita,” katanya.

Mahathir berkata Putrajaya memerlukan tanah itu kerana sebahagian daripadanya diperlukan untuk membangunkan bangunan lain bagi kemudian rakyat.

RTS yang akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura bertujuan meringankan kesesakan di Tambak Johor.

Kerajaan sebelum ini berkata ia sedang mencari pilihan-pilihan untuk memastikan RTS yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura terus berjalan, walaupun kedua-dua negara bersetuju untuk menggantung projek itu dari 1 April atas permintaan Malaysia.

Mahathir pada Mac berkata Malaysia dan Singapura memerlukan sekurang-kurangnya 3 hingga 4 jambatan lagi untuk memudahkan aliran trafik antara kedua-dua negara.

Adakah Putrajaya akan bantu kerajaan India bawa pulang Zakir Naik selepas India secara rasmi mengenakan tuduhan pengubahan wang terhadap Zakir Naik, menuduh penceramah kontroversi itu memperoleh aset jenayah bernilai Rs1.9 bilion (RM114.5 juta)?

“Yang itu kita akan kaji mengikut perundangan sedia ada,”

Sambutan yang akan dilakukan sempena setahun pentadbiran PH?

“Kita bincang tentang perayaan hari ulang tahun Malaysia baru, yang jelas kita perlu beritahu kepada rakyat. Hal ini kerana rakyat terdedah kepada banyak berita palsu, dan kita perlu jelaskan apa yang kita sudah lakukan.

“Sebenarnya, PH sudah mencapai banyak kejayaan tetapi kita tidak mahu bercakap sangat mengenainya, kerana kita masih bekerja, masih dibelenggu dengan masalah kekurangan dana.

Kita percaya dapat pulih balik negara dalam jangka masa tidak terlalu panjang,”

Maklum mengenai keputusan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Singapura yang dilapor sedia memulangkan dana RM930 juta yang didakwa daripada 1MDB?

“Saya ada maklum mengenai perkara itu, mereka tahu kerana itu duit kita. Mereka akan beri semula, begitu juga dengan Singapura.

“Namun saya tidak tahu bilakah ia akan dipulangkan. Secara realisitik, kita jangkakan sebanyak RM7 bilion akan dipulangkan,”