Isytihar jumlah hutang anda dengan Sabah, aktivis beritahu Putrajaya

KOTA KINABALU: Seorang aktivis politik dan penasihat kerajaan Sabah mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mahu Putrajaya mengisytiharkan secara rasmi jumlah wang yang perlu dibayar kepada Sabah mengikut Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Jadual 10, Sabah berhak mendapat geran tahunan sebanyak 40% daripada hasil bersih yang diperoleh Putrajaya dari negeri itu.

Zainnal Ajamain berkata jika kerajaan berkeras ia tidak mempunyai wang untuk membayar Sabah, sekurang-kurangnya ia perlu mengakui berhutang dengan Sabah.

“Malangnya, bukan sahaja mereka tidak melakukannya, malah mereka menarik balik projek dari Sabah dan Sarawak dengan alasan tidak mempunyai wang.

“Bagaimanakah mereka mempunyai wang untuk Kedah tetapi tidak untuk Sabah? Bagaimanakah sekarang di Sandakan yang sedang mengadakan pilihan raya kecil, tiba-tiba berjuta-juta peruntukan datang?” katanya.

Zainnal, yang bercakap dengan FMT selepas menghadiri Forum Persatuan Undang-undang Universiti Malaya bertajuk “Understanding Borneo’s Quest for Equal Partnership” di Kuala Lumpur semalam, berkata Sabah dan Sarawak hanya menuntut hak-hak mereka.

Sebagai contoh, kedua-dua negeri memerlukan sistem pengangkutan yang cekap.

Walaupun merupakan negeri kedua terbesar di negara ini, Sabah hanya mempunyai 10,250 km jalan raya berturap di bawah kerajaan negeri, katanya.

“Di Tanah Melayu, mereka mempunyai 131,041km jalan beraspal dan 24,829 kilometer jalan kerikil. Sekurang-kurangnya, berikan lebih banyak jalan kerikil di Sabah,” katanya.

Zainnal juga menolak tuduhan Sabah tidak membangun kerana kesilapan para pemimpin negeri dahulu.

Beliau berkata kekurangan pembangunan Sabah adalah disebabkan oleh dasar kerajaan persekutuan dan layanan yang berat sebelah kepada kedua-dua negeri.

Sebagai contoh, bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), Perlis, negeri terkecil di Malaysia, menerima lebih banyak pembiayaan daripada Sabah, katanya.

Kawasan Sabah seluas 73,631 km persegi adalah 90 kali lebih besar daripada Perlis yang hanya berkeluasan 821 km persegi dan penduduk Sabah adalah kira-kira 15 kali berbanding Perlis.

“Namun, bawah RMK9, Perlis menerima purata RM3.242 juta setiap kilometer persegi manakala Sabah hanya menerima RM0.229 juta setiap kilometer persegi.

“Sarawak lebih teruk lagi, hanya menerima RM0.121 juta setiap kilometer persegi.

“Dan orang bertanya-tanya mengapa kami tidak berpuas hati?” katanya.