Ringgit dibuka lebih rendah berikutan jangkaan penurunan OPR minggu depan

Ekonomi serantau dijangka berkembang 4.2% hingga 4.5% pada separuh pertama tahun ini dan terus meningkat pada suku ke-3 kepada 4.8% hingga 5.0%. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Mata wang tempatan dibuka rendah hari ini berikutan pelabur tidak memasuki pasaran kerana menunggu pengumuman berhubung kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 7 Mei.

Pada 9 pagi, ringgit turun ke paras 4.1400/1430 berbanding 4.1355/1385 semasa ditutup pada Khamis.

Seorang peniaga berkata, ini adalah selepas semalam Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan kadar faedah, walaupun mendapat tekanan daripada Rumah Putih untuk ia dikurangkan.

“Dengan Fed mengekalkan kadar faedah, ia menandakan kelembapan ekonomi. Bagi ringgit, pengurangan OPR mungkin akan mendorong pengguna tempatan untuk berbelanja,” katanya.

Ambank dalam laporan ekonominya hari ini berkata, berdasarkan data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang dikeluarkan oleh Nikkei semalam, bank itu yakin ekonomi akan bertambah baik pada suku kedua tahun ini.

“Kami percaya ekonomi di rantau ini akan berkembang sebanyak 4.2% hingga 4.5% pada separuh pertama tahun ini (1H2019) dan terus meningkatkan pada 2H2019 kepada sebanyak 4.8% hingga 5.0%.

“Kami mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun penuh adalah 4.5% dengan meningkat kepada 4.7%,” katanya.

Teras PMI Nikkei Malaysia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 7 bulan pada April, tertinggi sejak September 2018 didorong pertumbuhan ketara pesanan eksport.

Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0376/0410 daripada 3.0372/0406 pada Khamis dan jatuh berbanding yen kepada 3.7153/7190 daripada 3.7073/7103 semalam.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3973/4033 daripada 5.3985/4032 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6265/6319 daripada 4.6318/6368.