Sabah serah hak untuk 28 jambatan, kata wakil rakyat SUPP

Lo Khere Chiang.

KUCHING: Seorang wakil rakyat SUPP kecewa kerajaan Sabah masih terus menyokong kerajaan Pakatan Harapan walaupun ia kerap membuat pusingan U dalam janji-janjinnya.

Adun Batu Kitang, Lo Khere Chiang berkata kerajaan Sabah jangan dikaburi “langkah politik” untuk memecahkan dan melemahkan politik serantau di Sarawak dan Sabah.

Beliau mengulas keputusan sebulat suara Dewan Undangan Negeri Sabah menyokong pindaan pada Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan kata-kata asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang gagal diluluskan di Parlimen pada 9 April lepas.

Beliau mempersoalkan taktif Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai status sama taraf dan perkongsian sumber sedangkan pembinaan jambatan Igan, Rambungan dan Batang Lupar dihentikan di Sarawak tetapi 28 jambatan baru diikrarkan di Sabah oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian “selepas ahli-ahli Parlimen Sabah menyokong Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan”.

“Beritahu kami bagaimana rakyat Sarawak akan sokong parti-parti seperti PH Sarawak yang bersekutu dan senada dengan tuan-tuan mereka di Tanah Melayu?

“Kerajaan Sabah mungkin sedia menyerahkan haknya untuk 28 jambatan tetapi Sarawak tidak akan berbuat demikian,” katanya.

Lo berkata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg wajar marah dengan keputusan-keputusan Putrajaya.

“Adakah rakyat Sarawak tidak penting bagi Tanah Melayu? Mengapa wakil rakyat Kota Sentosa dan Ba’kelalan diam mengenai pengurangan dana daripada peruntukan persekutuan untuk 3 jambatan utama di Sarawak itu?”

Lo mendakwa janji-janji kosong kerajaan PH dan sikap tidak ikhlas menyebabkan negara, terutama Sarawak, mundur.

“Tengok peruntukan yang ditunggu-tunggu untuk Pusat Penjaja Haji Baki, bernilai RM800,000, dan untuk Dewan Haji Baki, bernilai RM1 juta, dipotong.

“Begitu juga projek tebatan banjir bernilai RM250 juta yang disebutkan oleh Ahli Parlimen Santubong, Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dipotong pada awal 2018, dan peruntukan RM20 juta untuk SK Haji Baki di Batu Kitang.”

Lo berkata selepas Sarawak menyeru status setaraf sebagai anggota pengasas, perdana menteri berulang kali berkata di Parlimen bahawa semua patut berstatus sama dan berkongsi hasil bersama.

“Dalam erti kata lain, sumber-sumber Sarawak patut dikongsi dengan Tanah Melayu. Menteru besar Kedah pun menegaskan Sarawak patut kongsi sumbernya, termasuk dengan Kedah.

“Itu Kedah, negeri halaman perdana menteri, yang sudah mempunyai 2 lapangan terbang dan baru-baru ini dianugerahkan lapangan terbang ke-3, Lapangan Terbang Kulim, dan projek-projek besar bernilai RM4.8 bilion,” katanya.

Beliau berkata Putrajaya ada wang untuk bantu Afrika dengan projek air bersih tetapi tiada wang untuk sekolah luar bandar dan orang-orang kampung di Sarawak.

“Putrajaya tiada wang untuk Sarawak tetapi ada wang untuk buat urus janji AS$900 juta dengan Pakistan semasa kunjungan perdana menteri ke negara itu baru-baru ini.”