Saya tidak salahkan sesiapa, kata Khalid tentang kelewatan bina rumah panjang penduduk

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mempertahankan kenyataannya sebelum ini mengenai cadangan pembinaan Taman Rimba Kiara dengan berkata, beliau tidak menyalahkan persatuan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI RA) atas kelewatan pembinaan rumah untuk penghuni rumah panjang di situ.

“Kenapa pula saya mahu salahkan mereka?” katanya. “Jika ada pihak yang perlu dipersalahkan, maka ia adalah kerajaan sebelum ini dan pemilik estet yang menjual estet tanpa memastikan nasib pekerja mereka diatasi secara memuaskan.”

Minggu lepas TTDI RA berkata, ia tidak harus disalahkan atas kelewatan itu dan menambah bahawa ia sentiasa menyokong pembinaan petempatan kekal di tanah seluas 4 ekar yang kini didiami oleh penghuni rumah panjang berkenaan.

“Dalam menyokong tujuan itu, TTDI RA telah mengemukakan cadangan konsep reka bentuk rumah bandar untuk penghuni rumah panjang yang bersesuaian dengan tanah seluas 4 ekar itu dan boleh menempatkan 3 generasi penghuni rumah panjang. Kos pembinaannya ialah kira-kira RM25 juta,” kata presidennya Abdul Hafiz Abu Bakar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khalid berkata beliau tidak berminat “menyalahkan sesiapa”.

“Malah saya mahu mengatasi masalah. Oleh sebab itu saya menyeru, bukan menyalahkan, TTDI RA supaya bersimpati terhadap nasib penghuni rumah panjang dan biarkan masalah itu diselesaikan akhirnya selepas 38 tahun.”

Beliau berkata, skala projek berkenaan telah pun dikecilkan. Tempat letak kereta penduduk tidak akan disentuh, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh menjimatkan wangnya untuk digunakan di tempat lain dan kedua-dua Yayasan Wilayah Persekutuan serta pemaju akan mendapat “sedikit keuntungan”.

Berhubung kenyataan persatuan itu bahawa TTDI dibina di atas estet Batu 7, bukannya estet Bukit Kiara, Khalid berkata ia masih estet yang berjiran.

“Jadi bantulah jiran kita,” katanya.

“Saya percaya DBKL, YWP dan pemaju telah melakukan yang terbaik bagi mencapai penyelesaian menang-menang untuk semua pihak terlibat. Tidak mudah mencari penyelesaian terbaik bagi satu masalah yang diwarisi.”