Tak mustahil caj rawatan swasta serendah sektor awam, kata Dzulkefly

Dzulkefly Ahmad berkata KKM melalui Majlis Penasihat Kesihatan sedang mencari mekanisme terbaik bagi mewujudkan kerjasama yang berkesan dan berterusan antara hospital awam dan swasta.

PUTRAJAYA: Selepas setahun memegang tampuk pemerintahan, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata tidak mustahil rakyat akan menikmati perkhidmatan kesihatan di sektor swasta dengan caj serendah sektor awam jika kerjasama kedua-dua sektor itu dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, kerjasama itu dapat membantu menambah baik sistem kesihatan negara pada masa depan, berbanding keadaan masa lalu.

“Sebagai contoh, kononnnya kita ada 40% tenaga pakar di sektor awam yang menjaga 60% kes pesakit dan sebaliknya 60% tenaga pakar swasta menjaga 40% kes.

“Daripada ukuran perimeter itu, beban kerja dari sudut fasiliti sektor awam dan sektor swasta tidak sepadan,” katanya pada sidang media Setahun selepas Pakatan Harapan memerintah di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada 8 Mac lalu, KKM melalui Majlis Penasihat Kesihatan sedang mencari mekanisme terbaik bagi mewujudkan kerjasama yang berkesan dan berterusan antara hospital awam dan swasta.

Dzulkefly berkata kerjasama itu bagi membolehkan masalah kesesakan pesakit di hospital awam dapat ditampung oleh hospital swasta.

Beliau berkata, perkongsian 2 sektor ini membabitkan perkhidmatan, fasiliti dan kewangan.

“Swasta mempunyai 60% fasiliti yang boleh digunakan sepenuhnya oleh pesakit sektor awam.

“Swasta ada tanggungjawab sosial boleh memberi potongan harga kepada pesakit,” katanya.

Dzulkefly berkata, walaupun sektor awam kekurangan tenaga pakar, ia paling baik dalam bidang perubatan menyebabkan hospital atau klinik kesihatan awam sentiasa sesak.

“Saya berdepan masalah bagaimana untuk seimbangkannya,” katanya.

Menurutnya, perancangan untuk mengimbangkan caj antara sektor awam dengan sektor swasta agak rumit kerana sektor swasta biasanya didorong oleh keuntungan.

Tubuh Majlis Penasihat Kesihatan

Dzulkefly berkata KKM mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan pada 27 Mac lalu yang diluluskan Kabinet pada 15 Januari lalu.

Majlis itu, katanya, berperanan membantu reformasi kesihatan negara biarpun cadangannya itu pernah diragui.

Katanya, majlis itu dianggotai 7 pakar, termasuk Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman dan Abu Bakar Sulaiman.

“Kita harap mereka dapat membimbing untuk pertingkatkan hubungan sektor awam dengan swasta dalam semua segi,” katanya.

Menurutnya, masalah kekurangan dana dihadapi sektor awam akibat kemerosotan ekonomi dunia.

Katanya, bagi negara menuju ke arah status maju seperti Malaysia, perbelanjaan kesihatan sepatutnya tidak kurang daripada 6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun ini tidak berlaku.

“Kerana kedudukan (kewangan) sekarang tidak boleh memenuhi kadar pembangunan negara, maka peruntukan bagi kesihatan tidak diberikan secukupnya,” katanya.

Beliau menyasarkan kenaikan peratusan KDNK kesihatan antara 5 dan 6% dalam tempoh 5 tahun.

Larangan merokok

Mengenai isu bahaya merokok, Dzulkefly berkata beliau tidak akan membuat pusingan U terhadap undang-undang larangan merokok.

“Lanjutan tempoh penguatkuasaan di tempat-tempat makan sehingga Disember bukan bermaksud kita berehat.

“Kita beri masa untuk kita terus buat penjelasan dan penerangan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat jawatankuasa pemandu yang terdiri daripada 10 kementerian lain dan 1 wakil badan bukan kerajaan (NGO) dipengerusikannya pada 16 April lalu, bersetuju dengan cadangan lanjutan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan itu.

“Kabinet juga sokong 100% penangguhan ini,” katanya.

Sebelum ini, KKM memberi tempoh 6 bulan hingga akhir Julai depan bagi penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di kedai makan dan restoran.

Beliau berkata impak positif juga dapat dilihat berkaitan bilangan perokok berdaftar untuk berhenti merokok melalui laman web jomquit.moh.gov.my.

Bilangan mereka yang berdaftar meningkat kepada 580 orang antara Januari dan April, berbanding dengan purata 428 orang bagi tahun–tahun sebelumnya.

Mengenai perancangan KKM, katanya, banyak dilaksana dan sedang dalam proses sepanjang beliau menjadi menteri kesihatan hampir setahun lalu.

Perluas sistem rekod elektronik

Beliau berkata ada projek yang belum sempat dilaksanakan tetapi sudah dirancang dan sudah memohon peruntukan, iaitu Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).

“Kementerian menyasarkan untuk melaksanakan EMR di semua hospital kerajaan dan 1,700 klinik kesihatan dalam tempoh 3 hingga 5 tahun.

EMR adalah sistem penyimpanan rekod dan data pesakit di hospital dan klinik bagi menggantikan rekod perubatan tradisional yang bergantung sepenuhnya pada penggunaan kertas.

Katanya, Kabinet juga bersetuju agar setiap kementerian mengadakan aktiviti senaman selama 15 minit sehari bagi membudayakan gaya hidup sihat.

Katanya, ini bagi melawan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, kadriovaskular, kolestrol tinggi dan angin ahmar.

“KKM adakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 8 April bagi merangka pekeliling untuk diedarkan kepada semua kementerian (mengenai senaman itu),” katanya.

Program perubatan siswazah

Katanya, Kabinet pada September 2018, bersetuju dengan pelan transformasi program pegawai perubatan siswazah di Malaysia menerusi pelaksanaan program prestasi tinggi doktor pelatih, yang akan mengurangkan tempoh latihan pegawai perubatan siswazah dari 2 tahun kepada 18 bulan.

Mengenai jumlah doktor, katanya, sepatutnya nisbah doktor kepada penduduk adalah 1 doktor bersamaan 400 orang.

Negara keluarkan 5,000 hingga 6,000 graduan perubatan setiap setahun, tetapi tempat untuk memasukkan mereka terhad.

“Bukan kerana ramai doktor tetapi kekurangan fasiliti yang mampu untuk jalankan program doktor pelatih, iaitu 43 hospital latihan siswazah,” katanya.

Dzulkefly berkata, KKM juga sedang menyusun semula perkhidmatan kesihatan yang disediakan di 347 Klinik 1Malaysia (K1M) untuk memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada.

Katanya, daripada 348 K1M yang ada, sejumlah 293 akan ditambah nilai dan menjadi Klinik Komuniti.

“Sebanyak 20 buah akan dinaik taraf kepada klinik kesihatan, manakala 34 bakal ditutup,” katanya.

Dzulkefly berkata KKM mencadangkan penubuhan institut kesihatan mental.

Institut ini akan berperanan sebagai pusat kecemerlangan nasional yang menyediakan entiti penting untuk tadbir urus, advokasi, penyelidikan dan latihan.

Dzulkefly berkata Kabinet juga bersetuju supaya kawalan harga bagi ubat-ubatan dibuat melalui Perintah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang dikawal selia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Katanya, objektif kawalan harga ubat adalah memastikan harga ubat berpatutan untuk rakyat.