Buktikan Warisan bantu pendatang asing tanpa izin, kata Leiking

Timbalan presiden Warisan, Darell Leiking (4 dari kanan) bergambar ramai dengan sebahagian perwakilan parti itu hari ini.

KOTA KINABALU: Timbalan presiden Warisan, Darell Leiking hari ini menyifatkan dakwaan bahawa parti itu membantu pendatang tanpa izin sebagai fitnah semata-mata.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Pemuda dan Wirawati Warisan di Penampang, Leiking berkata, beliau sentiasa meminta bukti daripada mana-mana pihak yang menuduh Warisan membantu pendatang tanpa izin, tetapi tidak ada pihak yang dapat menyokong dakwaan tersebut dengan bukti.

“Kenapa mereka tidak dapat mengemukakan bukti? Sebab mereka tahu tuduhan itu tidak benar.”

Sebaliknya, kata Leiking, beliau menjangka individu terbabit yang membuat komen tersebut tahu apakah yang berlaku di bawah kerajaan sebelum ini, dan sekiranya mereka mengemukakan bukti, rakan-rakan mereka sendiri yang akan berdepan dengan masalah.

Awal minggu ini, penyelaras PPBM Sabah dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman, Hajiji Noor menyuarakan kebimbangan beliau terhadap rancangan kerajaan negeri pimpinan Warisan untuk “memutihkan” pendatang tanpa izin di negeri itu.

Beliau mempertahankan kenyataannya itu dengan berkata, beliau hanya menyuarakan kebimbangan yang diutarakan oleh rakyat, terutamanya selepas melihat ramai orang asing mendatangi pesuruhjaya sumpah bagi mengesahkan dokumen milik mereka.

Selain itu katanya, banyak laporan dibuat oleh anggota masyarakat yang bimbang berkaitan kehadiran begitu ramai pendatang asing dalam kalangan mereka.

Terbaru, gambar satu kad MyPR tersebar di media sosial dan mendapat banyak komen daripada orang awam yang menyuarakan kebimbangan dengan mempersoalkan bagaimanakah belia lelaki itu memperoleh status pemastautin tetap pada usia begitu muda.

Mereka juga mempersoalkan alamat yang tercatat di kad tersebut, iaitu Tambunan, sebuah kawasan majoriti orang Dusun, justeru menimbulkan rasa syak bahawa maklumat pada kad berkenaan adalah palsu.

Status pemastautin tetap diberikan oleh kerajaan negeri kepada individu yang telah tinggal di Sabah lebih 5 tahun dan memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam undang-undang.

Berleluasanya politik wang?

Dalam perkembangan lain, Leiking berjanji menyiasat khabar angin bahawa politik wang berleluasa dalam pemilihan Warisan yang sedang berjalan.

“Kita mesti menangani dan menyiasat dakwaan ini dengan segera tanpa mengira sama ada ia benar atau tidak. Jika terbukti ia benar, maka kita perlu mengambil tindakan disiplin dan menyeret mereka ke mahkamah.”

Beliau menegaskan parti akan mengambil tindakan berhubung masalah itu kerana ia mesti dihalang ketika masih kecil.

Timbul persoalan bagaimanakah belia ini memperoleh status pemastautin tetap pada usia muda.

Sesetengah anggota dan calon pemilihan parti Warisan menggunakan media sosial bagi menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap individu tertentu yang memberi RM100 kepada perwakilan bagi mendapatkan undi.

Sebilangan individu tersebut dikatakan memegang jawatan kementerian, walaupun tidak jelas sama mereka merupakan menteri negeri atau persekutuan.

Ketua Pemuda, Wirawati Warisan menang tanpa bertanding

Sementara itu, ketua Pemuda Warisan, Azis Jamman dan ketua Wirawatinya, Isnaraissah Munirah Majilis menang tanpa bertanding jawatan masing-masing.

Ketika bercakap kepada media selepas itu, Azis berkata, anggota pemuda bebas mengkritik kepimpinan untuk kebaikan parti.

“Kita perlu suarakan apakah yang salah supaya kita dapat membina Sabah yang lebih baik. Jadi kita kritik bagi memastikan pentadbiran lebih baik,” katanya.

Berkaitan manifesto Warisan, Azis, yang merupakan timbalan negeri dalam negeri berkata, parti itu akan bekerja keras bagi menunaikan janji yang dibuat kepada golongan muda, seperti mendapatkan dana sebanyak RM100 juta untuk pembangunan belia.

Bagaimanapun katanya, rakyat perlu memberi masa kepada kerajaan negeri untuk memulihkan keadaan kewangan dan menunaikan janji yang dibuat.

Munirah pula berkata, mengisi jawatan parti dan kerajaan dengan 30% wanita adalah “ofensif” kerana ia memperlihatkan seolah-olah golongan itu tidak kuat atau berkemampuan, justeru memerlukan kuota tertentu untuk berjaya.

“Jika anda bertanya, saya mahu wanita dinilai berdasarkan kemampunan mereka, bukannya kerana mereka wanita. Kepimpinan tidak harus dinilai berdasarkan gender, kaum atau ugama. Jika anda bagus, anda bagus. Itu saja.

“Terdapat ramai wanita yang berkebolehan dan kuat di luar sana.”

Bagi Warisan, katanya, parti tidak memberi ganjaran kepada anggotanya berdasarkan gender, tetapi berasaskan merit.