China tahan lebih 1 juta orang Islam dalam ‘kem tahanan’, kata AS

WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam menuduh China memasukkan lebih 1 juta orang Islam dalam “kem tahanan”, salah satu kecaman terkeras AS terhadap Beijing mengenai apa yang dikatakan penahanan besar-besaran kaum minoriti Uighur yang kebanyakannya beragama Islam dan kumpulan Islam lain.

Kata-kata Randall Schriver itu, yang mengetuai dasar Asia di Jabatan Pertahanan AS, mungkin memburukkan lagi ketegangan dengan Beijing, yang sensitif dengan kritikan antarabangsa dan menggambarkan tapak-tapak itu sebagai pusat latihan pendidikan vokasional bertujuan untuk mencantas ancaman ekstremisme.

Bekas tahanan menggambarkan kepada Reuters tentang penderaan semasa disoal di kem-kem itu, ditempatkan dalam bilik yang sesak, dan dikenakan indoktrinasi kepartian setiap hari sehinggakan mendorong beberapa orang membunuh diri.

Beberapa tempat itu dkelilingi menara tinjau dan pagar dawai.

“Parti Komunis menggunakan pasukan keselamatan untuk memenjarakan orang China Islam secara beramai-ramai di kem-kem tahanan,” kata Schriver dalam satu taklimat Pentagon semasa perbincangan mengenai tentera China.

Beliau menganggarkan orang Islam yang ditahan mungkin “hampir 3 juta orang awam”.

Schriver, seorang penolong setiausaha pertahanan, mempertahankan penggunaan istilah yang kebiasaannya dikaitkan dengan Nazi Jerman sebagai wajar, dengan merujuk kepada keadaan itu.

Kedutaan China di Washington tidak memberikan komen segera ketika dihubungi.

Kerajaaan AS mempertimbangkan sekatan terhadap para pegawai China kanan di Xinjiang, wilayah yang didiami jutaan Uighurs dan etnik beragama Islam lain. China memberi amaran ia akan mengenakan balasan setimpal terhadap sebarang sekatan AS.

Pegawai kerajaan AS pernah berkata China menjadikan banyak aspek amalan beragama dan budaya di Xinjiang sebagai jenayah, termasuk hukuman kerana mengajar kitab agama kepada kanak-kanak, dan melarang ibu bapa memberikan nama Uighur pada anak-anak.

Pada ahli akademi dan wartawan merakamkan pemeriksaan polis di serata Xinjiang dan pengambilan DNA besar-besaran, dan pejuang hak asasi manusia mengecam suasana seperti darurat di situ.