Penyertaan Raymond Tan tunjukkan kabinet Shafie lemah, kata SAPP

Yong Teck Lee.

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin pembangkang berkata Ketua Menteri Shafie Apdal secara tidak sengaja mendedahkan kabinet Sabah lemah apabila memuji-muji bekas timbalan ketua menteri Barisan Nasional, Raymond Tan semalam.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Teck Lee berkata, penyertaan Tan, yang dipuji Shafie kerana pengalamannya sebagai menteri selepas menerima kemasukannya ke dalam Warisan, pasti merisaukan pemimpin Warisan dan Pakatan Harapan yang lain.

“Bukan itu sahaja, Tan salah seorang menteri yang paling lama berkhidmat di Sabah, dan pernah memegang jawatan kabinet selama 24 tahun secara berterusan bawah 7 ketua menteri antara 1994 dan 2018,” kata Yong.

Yong, yang juga ketua menteri Sabah antara 1996 dan 1998 berkata, beliau sangat berminat untuk menonton dan mendengar apa yang akan dibawa oleh Tan kepada kerajaan Warisan.

Disebabkan Tan memilih menyertai Warisan ketika pilihan raya kecil Sandakan sedang berlangsung, Yong berharap Tan akan mengingatkan rakyat Sandakan tentang semua pencapaian besar yang dilakukannya untuk Sandakan dalam 24 tahun sebagai menteri mereka.

Yong berkata demikian ketika mengulas keputusan Tan menyertai Warisan kira-kira 2 minggu selepas keluar dari Gerakan.

Dari segi politik, Yong berkata dia tidak terkejut apabila Tan mengambil keputusan ini kerana ia sesuatu sudah lama dijangka oleh mereka yang mengenalinya.

“Apa yang mengejutkan ialah dia mengambil masa yang lama untuk membuat langkah ini. Jelas sekali, pilihan raya kecil Sandakan memberikan alasan untuk menjadikan dirinya berguna semula,” katanya.

Yong juga mentertawakan alasan Tan meninggalkan Gerakan dan menyertai Warisan, kerana ia alasan yang sama ketika dia meninggalkan SAPP pada 2008 apabila parti itu keluar BN yang memerintah pada masa itu.

Semalam, Tan berkata keputusan itu demi Sabah dan rakyat di negeri ini.

Beliau juga berkata dia bersedia untuk membantu kerajaan dalam apa jua cara kerana dia hanya mahu membantu ketua menteri.

Bekas Adun Tanjong Papat itu juga berkata beliau diminta menyertai Warisan, walaupun Shafie berkata Tan yang datang berjumpa dengannya dan menyatakan kesediaannya untuk menyertai Warisan.

“Tidak kira siapa yang benar, fakta yang tidak dipertikaikan ialah kedua-dua Shafie dan Tan mendedahkan terdapat kekurangan pemimpin yang bagus dalam pentadbiran Sabah sekarang ini,” kata Yong.