Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan

Dengan daya tahan dolar AS mempengaruhi kebanyakan mata wang Asia, ringgit tidak terkecuali daripada faktor luaran yang boleh menjadikan peningkatannya sukar.

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati berbanding dolar AS minggu depan berikutan pelabur terus bimbang mengenai prospek pasaran kewangan tempatan dan global, kata peniaga.

Penganalisis FXTM Han Tan berkata, antara berita yang akan menggerakkan pasaran untuk pasaran domestik minggu depan ialah keputusan mengenai kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa.

“Pasaran mengambil kira pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) selepas bank pusat pada Mac, menyatakan bahawa ia mahu ‘mewujudkan ruang dasar dan penampan’.

“Dengan cakap-cakap mengenai ‘deflasi’ berkurangan, BNM akan menumpukan kepada risiko penurunan luaran terhadap ekonomi domestik untuk memastikan pendirian dasarnya yang akomodatif.

“Jika OPR diturunkan, ia akan mempengaruhi ringgit dalam tempoh terdekat walaupun penurunan sebanyak 25 mata asas itu akan membantu meningkatkan permintaan tempatan, teras utama kepada pertumbuhan Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun katanya, jangkaan yang meningkat kepada perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan meningkatkan sentimen risiko secara keseluruhan dan membantu mengukuhkan mata wang tempatan dan membantunya bergerak kepada paras 4.10-4.15 berbanding dolar AS.

“Dolar AS-ringgit berada dalam julat 4.13-4.14 sepanjang minggu ini, berikutan mata wang Asia menyaksikan keadaan yang berbeza berbanding dolar AS dengan cuti di China dan Jepun.

“Dengan daya tahan dolar AS mempengaruhi kebanyakan mata wang Asia, ringgit tidak terkecuali daripada faktor luaran yang boleh menjadikan peningkatan sukar pada masa akan datang,” katanya.

Bagaimanapun Tan berkata, Malaysia boleh bergantung kepada asas ekonomi domestiknya untuk meningkat semula berbanding aliran dolar, berdasarkan angka Indeks Pengurusan Pembelian Nikkei Malaysia yang baik dan peningkatan semula data perdagangan luar pada Mac.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan tidak berubah kepada rendah menjejaki antaranya, harga minyak mentah global, Indeks Harga Pengguna dan pengumuman mengenai kadar faedah oleh BNM tidak lama lagi.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, ringgit susut kepada 4.1410/1440 berbanding dolar AS daripada 4.1310/1340 sebelum ini.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0355/0379 berbanding 3.0306/0332 sebelum ini, dan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.7142/7179 daripada 3.6966/6997.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding pound Britain kepada 5.3792/3843 daripada 5.3302/3362 dan susut berbanding euro kepada 4.6185/6230 daripada 4.6007/6044 sebelum ini.