Saya tidak berdendam, tetapi nafi hina agama Hindu, kata Zamri Vinoth

Muhammad Zamri Vinoth.

PETALING JAYA: Pendakwah Muhammad Zamri Vinoth berkata, walaupun tidak menyimpan dendam terhadap pihak yang membuat laporan polis terhadapnya, beliau tetap berpendirian tidak pernah mempunyai niat untuk menghina agama Hindu.

Zamri berkata, beliau akur dengan penahanan dan direman 4 hari oleh polis, tetapi kecewa dengan sikap individu seperti Waytha Moorthy, P Ramasamy dan M Kulasegaran yang secara terang-terangan menghina Islam dan orang Melayu.

“Tiada sebarang tangkapan yang pernah dilakukan setakat ini walaupun ratusan, malah ribuan laporan polis dibuat terhadap mereka.

“Apabila mengimbas senario tersebut, jiwaku secara spontan meminta tuntutan keadilan buat diriku yang daif ini sehingga tercetusnya kekecewaan tersebut,” katanya di laman Facebook beliau.

“Tiada siapa yang kebal undang-undang, termasuk menteri kita, cuma mungkin mereka belum bersedia untuk melaksanakan kata-kata mereka sendiri. Sungguhnya perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata,” katanya.

Zamri ditahan Ahad lepas atas dakwaan menghina agama Hindu sewaktu menyampaikan satu ceramah di sebuah masjid di Kelantan pada 30 Disember tahun lalu.

Dalam ceramah tentang tanggungjawab orang Islam memperkenalkan Islam kepada orang lain, beliau merujuk kepada kekecewaannya sendiri kerana gagal mengislamkan keluarga dan kawan rapatnya.

Dalam ceramah tersebut, Zamri berkata, salah satu sebab beliau meninggalkan agama Hindu adalah kerana beliau tidak dapat menerima kepercayaan kepada “330 juta tuhan” dan “penyembahan objek diperbuat daripada batu yang diberikan makanan”.

Dalam pada itu Zamri akur dengan undang-undang negara dan tidak mempunyai perasaan marah terhadap mereka yang membuat laporan polis terhadap beliau.

Katanya, beliau malah menghargai tindakan yang dilakukan kerana ia merupakan saluran betul yang perlu diikuti setiap rakyat Malaysia.

“Saban hari ada segolongan kecil daripada mereka yang menyuap naluri amarah mereka dengan cemuhan, cacian, kecaman dan makian terhadap saya walaupun setelah saya ditahan oleh pihak berkuasa.

“Mungkin ia dilakukan demi memuaskan selera hati mereka yang sedang digelorakan oleh beberapa pihak yang tidak mesra Islam. Saya redhakan perkara tersebut kerana pada saya mungkin ini suatu khafarah (balasan) buat saya,” katanya.

“Namun saya tidak memperbesarkan isu tersebut walaupun sebenarnya sayalah insan yang dijadikan mangsa keadaan. Isu ini sengaja dibangkitkan oleh segolongan mereka yang tidak bertanggungjawab dan anti Islam serta orang Melayu,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada polis yang bertindak secara profesional, walaupun terdapat pegawai mereka yang beragama Hindu turut terlibat dalam penahanannya.

Katanya, mereka tetap bertindak secara matang bagi memastikan kedaulatan undang-undang terjamin.