Sultan Johor sedia serah tanah Bukit Chagar dengan satu syarat

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sultan Johor merakamkan rasa kecewa berkaitan satu laporan yang mengisyaratkan bahawa hak milik ke atas 1 lot tanah yang terlibat dalam pembinaan Sistem Aliran Transit (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura telah dipindahkan kepadanya.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, tidak pernah dimaklumkan tentang apa-apa perubahan ke atas hak milik tanah seluas 4.5 hektar itu, yang merupakan 1 daripada 5 lot tanah yang terlibat dalam perjanjian tukar tanah antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

“Namun begitu, Sultan Johor telah bertitah bahawa sekiranya benar tanah milik baginda di Bukit Chagar tersebut terlibat untuk projek RTS, maka baginda berkenan untuk menyerahkan tanah yang terlibat kepada kerajaan tanpa sebarang kos,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh setiausaha sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah.

“Dengan syarat projek RTS ini mestilah diteruskan dengan segera kerana baginda amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang-alik ke Singapura,” tambah kenyataan itu.

Dilaporkan semalam bahawa 1 daripada 5 lot tanah untuk projek RTS dipindah milik kepada Sultan Johor.

Dokumen yang dilihat oleh FMT antara lain menyebut perubahan ke atas hak milik tanah seluas 4.5 hektar itu berlaku pada masa pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Ia juga mendedahkan tanah berkenaan dipajakkan selama 3 tahun sehingga 3 November 2020 kepada sebuah syarikat bagi menjalankan perniagaan parkir kereta.

Tanah berkenaan merupakan sebahagian daripada RTS yang dirancang yang akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura.

Projek RTS dijangka dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Putrajaya akan membeli balik tanah itu daripada Sultan Johor jika ia telah dibayar.

“Tetapi jika ia belum dibayar, kita tidak akan membelinya balik. Ia tanah kita.”