Tolong Zakir Naik, Tuan Ibrahim minta Putrajaya

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man meminta kerajaan Malaysia jangan menghantar pulang Zakir Naik ke India selepas India mengenakan tuduhan pengubahan wang terhadap penceramah kontroversi itu.

Walaupun Naik didakwa di mahkamah dengan memperoleh aset jenayah bernilai Rs1.9 bilion (RM114.5 juta), Tuan Ibrahim meminta kerajaan supaya tolong pertahankan penceramah itu.

“Tolong pertahan Naik, kita desak kerajaan jangan sesekali hantar Naik pulang ke India,” katanya kepada lebih 1,000 peserta Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di Sogo hari ini.

India kelmarin secara rasmi menuduh penceramah kontroversi itu memperoleh aset jenayah bernilai Rs1.9 bilion (RM114.5 juta).

Naik, yang kini berada di Malaysia, didakwa tanpa kehadirannya di sebuah mahkamah di Mumbai kelmarin.

Direktorat Penguatkuasaan India (ED) berkata daripada jumlah itu, ia sudah mengenalpasti harta bernilai Rs50.4 juta (RM3 juta).

Agensi itu juga memberitahu mahkamah bahawa Naik pernah membuat “ucapan-ucapan dan kuliah-kuliah yang mengapi-apikan” yang menghasut sejumlah belia beragama Islam di India melakukan tindakan pengganas.

Naik menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terhadapnya.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya adalah kerajaan akan menghantar pulang Naik selepas penceramah itu dikenakan tuduhan secara rasmi berkata Putrajaya akan mengkajinya “mengikut perundangan sedia ada”.