Wanita persoal Tony Pua, tuntut PH tunai janji pilihan raya di Sandakan

Norbayan Tanong (tudung merah), seorang penghuni komplek PPR, ditenangkan oleh penyokong PH selepas bertanya Tony Pua bilakah penghuni boleh memiliki unit yang mereka diami. (Tangkap layar WhatsApp)

KOTA KINABALU: Kempen DAP di PPR Taman Harmoni di Sandakan malam tadi terganggu apabila seorang wanita berumur mempersoal setiausaha publisiti DAP, Tony Pua, yang sedang berucap.

Dalam kejadian 9.50 malam itu, wanita berkenaan, yang kemudiannya memperkenalkan diri sebagai Norbayan Tanong, seorang penghuni komplek PPR berkata, beliau hanya mahu mengingatkan DAP tentang janji parti itu pada pilihan raya umum lepas.

“Mereka berjanji akan memberikan kami peluang untuk membeli rumah yang kami diami. Salahkah jika saya berkata mereka perlu tunaikan janji? Tambahan lagi kami mengundi DAP,” katanya.

Katanya, beliau dan keluarga terbeban dengan peningkatan kos penyelenggaraan rumah tersebut.

Secara keseluruhan katanya, keluarga beliau perlu membayar lebih RM300 sebulan untuk sewa dan bil utiliti.

“Suami saya tidak lagi bekerja. Hanya 2 anak saya yang bekerja. Saya tidak lagi menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) walaupun selepas mengemas kini maklumat diri dalam sistem.”

Norbayan berkata, kesnya bukan terpencil kerana terdapat keluarga lain yang berada dalam keadaan lebih buruk, dengan sewa rumah berjumlah lebih RM1,000 kerana tertunggak selama beberapa bulan.

“Itulah sebabnya saya bertanya bilakah DAP akan menunaikan janji mereka. Ahli Parlimen sebelum ini berjanji untuk mengubah sistem sedia ada daripada sewa kepada sewa beli. Adakah janji ini akan ditunaikan?”

Wanita berkenaan bagaimanapun tidak mempunyai cukup masa untuk memberitahu Tony Pua semua masalahnya kerana beliau segera dikerumuni penyokong Pakatan Harapan (PH) di situ.

Beliau kemudiannya digiring keluar dari majlis.

Penduduk yang mendiami PPR tersebut kebanyakannya merupakan “setinggan” yang rumah mereka dirobohkan oleh kerajaan bagi membina sebuah jalan ke-2 di Sandakan.

Kira-kira 8,000 keluarga kehilangan rumah mereka dalam projek berkenaan. Kerajaan hanya berjaya menempatkan 1,600 keluarga di 3 projek PPR di sekitar Sandakan.

Bakinya masih menunggu rumah baru mereka.