Jangan buang biji kurma, ketahui manfaatnya

Satu Ramadan yang jatuh pada Isnin depan pastinya bulan yang ditunggu-tunggu umat Islam kerana dapat melakukan amal ibadah.

Malah, sudah pasti hampir setiap rumah akan ada sekurang-kurangnya sekotak kurma tidak kiralah ia dari jenis apa pun.

Ini kerana kurma makanan mengikut sunah setiap kali berbuka puasa dan juga ketika bersahur.

Khasiat kurma sudah diketahui umum dalam membantu mengembalikan tenaga dan melancarkan pencernaan, terutamanya ketika kita berpuasa.

Namun, mungkin tidak ramai antara kita yang tahu biji kurma juga mempunyai banyak manfaatnya.

Jadi sebelum anda buang biji kurma, jom kita ketahui apakah kegunaan dan khasiatnya yang luarbiasa.

3 kegunaan biji kurma yang jarang diketahui

1. Alternatif kepada kopi

Tahukah anda, biji kurma ini boleh digunakan untuk membuat kopi yang lazat. Seperti juga kopi biasa, ia juga terhasil daripada bijinya kan?

Begitu jugalah yang kita boleh buat dengan biji kurma.

Kopi biji kurma adalah alternatif yang sangat sesuai bagi anda yang alah pada kafein.

Cara membuatnya sangat mudah.

  • Mula-mula basuhkan biji kurma yang telah dimakan sehingga bersih.
  • Kemudian biarkan ia kering seketika.
  • Seterusnya, panggang biji kurma atau sangai (goreng tanpa minyak) hingga kehitaman dan mengeluarkan aroma seakan-akan kopi.
  • Tumbuk biji kurma yang hangus tadi menggunakan batu lesung atau blender.
  • Kemudian, bolehlah digunakan sebagai serbuk kopi.

2. Melembutkan daging dengan cepat

Kalau ikut petua, biji kurma ini boleh digunakan untuk melembutkan daging secara semulajadi dengan cepat tanpa mengganggu rasa masakan.

Caranya masukkan beberapa butir biji kurma yang sudah dibasuh bersih ke dalam apa-apa masakan yang sedang dimasak.

InsyaAllah, daging akan cepat empuk dan lembut!

3. Digunakan sebagai scrub

Biji kurma juga boleh digunakan untuk tujuan kecantikan iaitu sebagai scrub atau lulur.

Dah tak payah beli mahal-mahal, gunakan biji kurma tadi dan jadikan serbuk macam buat kopi tadi.

Kemudian, campurkan dengan madu atau gula perang dan sedikit minyak zaitun sebelum digunakan pada muka atau bahagian badan.

Baunya wangi dan amat menyegarkan.

Khasiat biji kurma

Selain buah, biji kurma juga mengandungi pelbagai khasiat untuk tubuh.

Berikut adalah antara manfaatnya menurut kajian yang dilaporkan oleh HealthBenefitsTimes.com

  • Membantu mengawal kadar gula dalam darah.
  • Agen antiviral, melindungi tubuh daripada jangkitan.
  • Sumber antioksidan yang baik untuk tubuh.
  • Membantu kesihatan kulit.
  • Melembapkan dan membantu pertumbuhan rambut.

Selama ini, lepas makan kita buang saja biji kurma terus masuk tong sampah.

Jadi, selepas ini apa kata kita cuba simpan dan maksimakan kegunaan buah kurma tu sampailah ke bijinya.

Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ni memang banyak beli dan makan buah kurma.

Bolehlah kumpul dan gunakan bijinya untuk buat kopi atau scrub. Jimat dan berbaloi. Berkhasiat pulak tu!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]