Kesatuan gesa sekolah laksana kod etika ibu bapa demi kebajikan guru

KOTA BHARU: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) gesa semua sekolah menyegerakan pelaksanaan Kod Etika Ibu Bapa atau Penjaga bagi memastikan kebajikan guru terpelihara.

Presiden Aminuddin Awang berkata daripada tinjauan yang dilakukan sambutan sekolah berhubung pelaksanaan kod etika itu masih kurang meluas walaupun surat siaran dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 19 Disember tahun lepas.

“Kita harap semua sekolah dapat menyegerakan pelaksanaan kod etika ini sebagai langkah kawalan mengelak sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada guru sekaligus dapat meningkatkan produktiviti perkhidmatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran kod etika berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang hari ini yang turut dihadiri Pengerusi NUTP Kelantan, Johari Ahmed dan Pengetua Omar Ab Rahman.

Kod etika berkenaan mula dirangka pada tahun 2017 dengan merujuk kepada kod etika sedia ada di Amerika Syarikat, United Kingdom dan India.

Terdapat 15 panduan yang perlu dipatuhi dalam kod etika tersebut selain 8 tingkah laku yang perlu dihindari oleh ibu bapa.

Antaranya termasuk ibu bapa mesti mendapatkan kebenaran pihak pentadbir sekolah terlebih dahulu jika mempunyai masalah berkaitan dengan anak-anak, ibu bapa tidak dibenarkan membawa masuk topi keledar atau benda terlarang yang boleh mendatangkan mudarat, dan bertanggungjawab sepenuhnya memastikan kehadiran anak ke sekolah.

Aminuddin berkata setakat ini pihaknya melancarkan perasmian kod etika berkenaan di 14 buah sekolah di seluruh negara bermula awal tahun ini.

Katanya NUTP akan mengadakan kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memastikan kira-kira 10,000 buah sekolah di seluruh negara akan melaksanakan kod etika itu menjelang hujung tahun ini.

Dalam pada itu beliau berkata ibu bapa dinasihatkan mendapatkan maklumat yang sahih terlebih dahulu dalam semua perkara yang membabitkan masalah anak-anak di sekolah selain memberi kerjasama kepada guru demi kemenjadian pelajar.