Pensyarah dihina sebab beri pendapat, Najib celah isu Statut Rom

PETALING JAYA: Najib Razak membidas kerajaan selepas Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah berkata dia tidak akan meminta maaf kepada 4 orang pensyarah yang digelar “profesor kangkung” berkaitan Statut Rom.

Saifuddin dilapor melabel 4 pensyarah berkenaan, yang dikatakan terlibat dalam memberi penerangan kepada Majlis Raja-raja berhubung Statut Rom, bagi membezakan “profesor yang asli dengan mereka yang memberikan laporan salah untuk menakutkan orang ramai”.

Putrajaya selepas mengumumkan Malaysia menarik balik perakuan Statut Rom berkata ia tahu penentangan terhadap Malaysia menandatangani perjanjian itu bermotif politik, ideanya untuk mendapatkan raja-raja melawan kerajaan.

“Satu Malaysia maklum bahawa timbalannya ada sijil palsu. Patut digelar apa pula? Menteri kangkung palsu?” kata Najib di Facebook hari ini.

Beliau merujuk kepada Timbalan Menteri Luar Negeri, Marzuki Yahya, yang terpalit kontroversi ijazah meragukan awal tahun ini.

Marzuki memiliki ijazah daripada Cambridge International University di Amerika Syarikat, dan bukan daripada Universiti Cambridge di United Kingdom yang terkenal di serata dunia.

Bekas perdana menteri itu tidak senang melihat pensyarah-pensyarah berkenaan diserang oleh menteri-menteri kerajaan, dan tertanya apakah kesalahan mereka hingga perlu dihina dan dimaki seperti itu.

“Hanya sebab mereka telah memberi pendapat kepada kepada Majlis Raja-raja berdasarkan pengalaman dan pengetahuan mereka?

“Kalau begini, lebih baik kerajaan Pakatan Harapan sediakan skrip untuk mana-mana profesor yang ingin menyuarakan pendapat mereka kepada Majlis Raja-raja ataupun kepada media,” katanya.