PH jangan salah langkah tadbir Putrajaya jika mahu rakyat beri mandat pada PRU15, kata Anwar

Presiden PKR, Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan khas sempena persidangan tahunan DAP ke-50 di Shah Alam hari ini. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) supaya tidak tersalah langkah dalam mentadbir Putrajaya sehingga menyebabkan gabungan itu dihukum oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita harus yakin dan saya setuju dengan apa yang digariskan Lim Guan Eng, bahawa jangan kerana desakan semasa, jangan kerana kejutan sebentar, menyebabkan kita tersalah langkah meninggalkan landasan sehingga melupakan manifesto dan janji kepada rakyat,” kata presiden PKR itu ketika menyampaikan ucapan khas sempena persidangan tahunan DAP ke-50 2019 di Shah Alam.

Dalam ucapan sama, Anwar menggesa pimpinan PH supaya menolak budaya buruk yang wujud pada zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Katanya, rakyat akan terus memberi mandat kepada PH pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) jika budaya lapuk era BN berjaya dihapuskan.

“Kita mungkin menghadapi masalah semasa, tetapi saya yakin akhirnya, kalau kita laksanakan pemerintahan yang bebas, telus, bersih, tidak mempamerkan kesombongan serta keangkuhan kuasa, dan tidak mempamerikan budaya lapuk kemewahan, saya yakin PH akan diberi tempoh beberapa tahun lagi oleh rakyat dan dipertahankan sebagai kerajaan Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar sekali lagi menegaskan beliau mendukung penuh kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri untuk menerajui Putrajaya.

“PH harus mantap dan kuat. Sokongan padu perlu diberikan kepada perdana menteri bagi meneruskan agenda yang kita janjikan kepada rakyat.

“Walaupun sebahagian janji manifesto PH telah kita dilaksanakan dan sebahagian yang lain harus diteliti dan laksanakan cara berperingkat, tetapi prinsip dasar kita tidak harus tergelincir,” katanya.

Persidangan yang dirasmikan oleh setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng itu turut menyaksikan kehadiran pemimpin PH, termasuk presiden Amanah, Mohamad Sabu dan setiausaha agung PPBM, Marzuki Yahya.