Senarai semak persediaan hadapi bulan Ramadan

Tidak lama lagi kita bakal menyambut Ramadan al Mubarak. Bersediakah kita?

Ia adalah bulan penuh keberkatan serta banyak kelebihannya, dan haruslah disambut dengan keadaan lebih bersedia.

Oleh itu, beberapa senarai semak perlu dibuat menjelang bulan puasa pada minggu hadapan!

Kesihatan

Sebagai Muslim yang prihatin dengan kehadiran Ramadan, kesihatan perlulah dijaga dengan baik supaya kita tidak terlepas peluang untuk melakukan ibadat.

Bukankah ini bulan untuk mengumpul pahala sebanyak mungkin?

Oleh itu, jagalah kesihatan supaya kita tidak terlepas untuk melakukan ibadah seperti solat tarawikh.

Semak hukum-hakam

Menyemak semula hukum-hakam yang berkaitan dengan pengertian puasa, hikmah, rukun dan perkara yang membatalkan puasa agar ibadah yang dilalui tidak sia-sia.

Semak juga sama ada kurma di rumah anda sudah dibeli atau belum untuk dimakan ketika sahur dan berbuka puasa sebagai penambah tenaga!

Amalan sunat

Mengambil tahu tentang amalan sunat yang sangat digalakkan ketika berpuasa, seperti membaca al-Quran, bersedekah dan membantu golongan yang susah.

Di samping itu hendaklah juga anda mengetahui fatwa berkaitan dengan permasalahan semasa berkaitan puasa.

Berazam tumpu pada ibadah

Menanamkan keazaman dengan penuh ikhlas untuk menumpukan sepenuhnya perhatian pada bulan ini dengan amal ibadah.

Kehadiran ke masjid bukan kerana malu kepada orang ramai tetapi benar-benar mengharapkan pengampunan Allah SWT.

Jaga lidah daripada mengumpat

Sesiapa yang suka bercakap banyak, anda mungkin boleh cuba membuat perubahan pada bulan ini. Banyakkan berdiam dan hanya bercakap pada perkara yang perlu.

Lagipun, bukankah ia mampu mengurangkan tenaga anda yang seharian berpuasa daripada lapar dan dahaga, pasti penat bukan?

Ingat, semakin banyak percakapan kita, semakin banyak silap yang kita lakukan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]