Bekas pengerusi BN P Pinang tarik balik kenyataan fitnah Guan Eng
Ia adalah sebahagian penghakiman persetujuan yang dicapai antara kedua-dua pihak berhubung saman fitnah oleh Lim Guan Eng terhadap Teng Chang Yeow.
GEORGE TOWN: Bekas pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Chang Yeow menarik balik kenyataannya yang dianggap fitnah terhadap pemimpin DAP, Lim Guan Eng di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Ia adalah sebahagian penghakiman persetujuan yang dicapai antara kedua-dua pihak berhubung saman fitnah oleh Lim terhadap Teng berhubung 3 laporan berita di New Straits Times (NST) dan Berita Harian (BH) pada 17 dan 19 Jan tahun lalu.
“Saya menyesali kesusahan dan kesukaran yang dialami oleh YB Lim Guan Eng kerana penerbitan artikel berita di atas.
“Dengan ini saya tanpa syarat dan menarik balik sepenuhnya kenyataan yang saya buat dalam sidang media yang diadakan pada 16 Jan dan 18 Jan 2018,” kata Teng di depan Hakim Rosilah Yop.
K Simon Murali mewakili Lim manakala Teng diwakili Kek Boon Wei.
Tiada perintah dibuat untuk kos.
September lalu, New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), penerbit akhbar NST dan BH, mencapai penghakiman persetujuan dalam saman fitnah berasingan yang difailkan Lim.
NSTP membayar ganti rugi RM130,000 dan menerbitkan permohonan maaf di NST berhubung artikel yang dipersoalkan.
Pada 13 Mac tahun lepas, Lim menyaman Teng secara berasingan berhubung kenyataannya mengenai bayaran yang dibuat kepada syarikat yang memenangi tender untuk terowong dasar laut Pulau Pinang dan 3 projek jalan utama.
Teng, dalam 3 artikel yang diterbitkan dalam NST dan BH pada 17 Jan dan 19 Jan 2018, menunjukkan Lim berbohong mengenai “tidak membayar satu sen pun” kepada kontraktor apabila sebenarnya, Teng mendakwa, pembayaran telah dibuat.
Artikel pertama diterbitkan dalam NST dengan tajuk “Come clean on payments, Penang urged”. Ia diikuti dengan artikel BH yang bertajuk “Pulau Pinang sembunyi fakta pembayaran”. Kedua-dua artikel itu diterbitkan pada 17 Januari. Artikel ke-3, bertarikh 19 Jan, diterbitkan di NST dengan tajuk “Penang BN claims CM lied over 4 issues”.
Ia melibatkan bayaran RM11.2 juta yang dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang kepada firma kejuruteraan HSS Integrated Sdn Bhd sebagai jurutera pemeriksa bebas untuk projek terowong dan jalan raya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Lim, dalam kenyataan tuntutannya, berkata kenyataan Teng memberi persepsi kepada rakyat bahawa beliau berbohong mengenai kepentingan umum dan menyalahgunakan kuasanya.