Saya tak dengar rungutan lantikan Mazlan sebagai ketua PPBM Johor, kata Dr M

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mendengar sebarang rungutan daripada kerajaan negeri Johor berhubung pelantikan Mazlan Bujang sebagai ketua PPBM negeri, susulan berita mengatakan majoriti ketua bahagian bertemu untuk mendesak Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal dilantik sebagai ketua PPBM Johor.

“Kali terakhir saya jumpa exco Johor, mereka tidak buat apa-apa rungutan,” kata Mahathir yang juga pengerusi PPBM kepada pemberita.

Secara tradisinya, menteri besar atau ketua menteri dilantik sebagai pemimpin parti.

Malaysiakini melaporkan 22 daripada 26 ketua bahagian negeri itu bertemu semalam berhubung perkara tersebut.

Sumber mengesahkan pertemuan semalam berlangsung, tetapi mengatakan ia dilakukan tanpa pengetahuan kepimpinan pusat.

FMT juga difahamkan mesyuarat semalam bukanlah pertemuan pertama yang memperlihatkan perasaan tidak senang pemimpin bahagian dengan kepimpinan tertinggi.

Hari ini, bekas menteri besar Johor Osman Sapian berkata beliau tidak berada di belakang mesyuarat pemimpin PPBM negeri itu yang dilaporkan tidak mempedulikan Mahathir berhubung pelantikan ketua parti itu di Johor.

“Saya hanya diminta untuk mempengerusikan mesyuarat itu,” kata Osman kepada FMT.

“Kami tidak menentang Tun (Mahathir). Kami bertemu menggunakan saluran dalaman untuk mencadangkan menteri besar untuk mengetuai PPBM negeri,” katanya, sambil menambah pemimpin negeri akan mematuhi sebarang keputusan oleh pimpinan pusat.