Pilihan raya umum Panama bermula Ahad

Rakyat Panama akan memilih seorang presiden, naib presiden, 71 anggota di Dewan Negara, 20 di Parlimen, 81 datuk bandar dan 9 anggota majlis.

BANDARAYA PANAMA: Pilihan raya umum Panama bermula 7 pagi waktu tempatan (1200 GMT) pada Ahad membabitkan 6,911 saluran di 2,798 pusat pengundi, lapor agensi berita Xinhua.

Pengundian akan ditutup 4 petang waktu tempatan (2100 GMT).

Pilihan raya kali ini membabitkan sejumlah 2,757,823 pengundi berdaftar, di samping 7,725 pengundi luar negara.

Rakyat Panama akan memilih seorang presiden dan naib presiden serta 71 timbalan di Dewan Negara, 20 di Parlimen Amerika Tengah, 81 datuk bandar dan 9 anggota majlis.

Antara cabaran paling besar dihadapi Panama ialah defisit dalam sistem dana keselamatan sosial, memerangi rasuah dan keperluan untuk mempunyai institusi yang lebih kuat serta bebas.

Menurut kajian Bank Pembangunan Inter-Amerika (IDB) baru-baru ini, walaupun Panama mencatat pertumbuhan ekonomi terbaik dalam 10 tahun terakhir di Amerika Latin, dengan kadar pertumbuhan rata-rata 7.2%, namun ketidaksamaan di negara itu masih tinggi.

Kajian itu mencadangkan Panama perlu kekal sebagai negara berpendapatan tinggi dan mempertahankan momentum perkhidmatan logistik, sektor pelancongan, ekonomi digital dan industri kreatif dan budaya.