Projek rel berkembar komuter Lembah Klang diumum dalam masa terdekat, kata Loke

Kontrak KVDT2 bernilai RM5.265 bilion sebelum ini diberikan kerajaan BN kepada syarikat usaha sama antara LTAT dengan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd, tetapi dibatalkan oleh kerajaan PH pada September tahun lepas. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, fasa ke-2 projek menaik taraf rel Landasan Berkembar Komuter Lembah Klang (KVDT2) KTM Bhd akan diumumkan dalam waktu terdekat.

“Kami akan buat pengumuman dalam waktu terdekat berkaitan masa depan KVDT2. Seperti yang kami sebut sebelum ini, kami telah batalkan kontrak terdahulu dan akan buat pengumuman tidak lama lagi.

“Tetapi berapa cepat, kami perlu tunggu kerana terdapat beberapa proses yang saya juga perlu ikut. Sebaik sahaja kami sudah bersedia, kami akan buat pengumuman, tetapi yang pasti (projek) itu berada dalam perancangan kami,” katanya selepas menjadi tetamu program bual bicara `The Nation’ Bernama News Channel di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Loke enggan menjawab semasa ditanya tentang jumlah syarikat yang menunjukkan minat terhadap projek mega itu.

Projek KVDT2 melibatkan kerja baik pulih landasan kereta api KTM dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, meliputi jarak sejauh 211 kilometer.

Membabitkan kos RM5.265 bilion, projek mega itu diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini kepada Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd, usaha sama antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd.

Bagaimanapun, kontrak itu dibatalkan pada September 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana kosnya yang tinggi, tempoh penyiapan lebih lama iaitu lebih 7 tahun dan cara ia diberikan menerusi rundingan terus.