Bekas pengurus Goldman didakwa di AS, berdepan 30 tahun penjara

Roger Ng dituduh berkonspirasi bagi pengubahan wang dan merasuah pegawai kerajaan Malaysia dan Abu Dhabi, melalui penawaran bon yang dikendalikan Goldman Sachs. (Gambar Facebook)

NEW YORK: Bekas ahli perbankan Goldman Sachs Group, Roger Ng mengaku tidak bersalah atas tuduhan jenayah yang dikaitkan dengan skandal 1MDB di mahkamah persekutuan, New York pada Isnin.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, menuduh Ng, 46, berkonspirasi bagi pengubahan wang haram dan merasuah pegawai kerajaan Malaysia dan Abu Dhabi melalui penawaran bon yang dikendalikan Goldman Sachs.

Dia diekstradisi ke New York dari Kuala Lumpur pada 3 Mei lalu, di mana dia dipenjarakan sejak November.

Hakim Peggy Kuo dari Mahkamah Daerah AS di Brooklyn, New York, membenarkan Ng yang juga warga Filipina dibebaskan dengan pertukaran bon sebanyak AS$20 juta.

Dia yang dipakaikan dengan rantai di pergelangan kaki, akan tinggal di lokasi yang tidak diketahui di kawasan New York City yang diluluskan mahkamah.

Peguamnya, Marc Agnifilo, berkata dia meyakinkan Ng untuk “datang ke AS dan menerima hukuman” kerana jelas pendakwa raya tidak akan menggugurkan kes itu dan anak guamnya menjadi sangat sakit.

Ng kelihatan kehilangan berat badan berdasarkan gambarnya sebelum dia ditangkap.

“Dia berada dalam keadaan yang sangat sukar,” kata Agnifilo kepada wartawan. Ditahan di New York “lebih baik daripada penjara Malaysia,” katanya.

Ng, yang meninggalkan Goldman Sachs pada 2014, berdepan 30 tahun penjara jika disabitkan dengan 3 tuduhan terhadapnya di AS, berdasarkan dakwaan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing.

Malaysia mahu Ng berdepan tuduhan jenayah di negara ini terlebih dahulu, tetapi bersetuju menyerahkannya kepada AS untuk sementara waktu selama 10 bulan, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

“Tempoh penyerahan sementara boleh dilanjutkan apabila persetujuan bersama oleh Malaysia dan Amerika Syarikat,” tambah Thomas.