Fikir semula bagaimana kamu berurusan dengan raja-raja, Zaid tegur Putrajaya

PETALING JAYA: Seorang bekas menteri persekutuan menggesa Putrajaya memikirkan semula bagaimana ia berurusan dengan keluarga diraja Johor.

Dalam satu temubual dengan FMT, Zaid Ibrahim berkata pertelagahan antara pemimpin-pemimpin kerajaaan dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim “sangat dikesali dan keterlaluan”, terutama apabila Putrajaya perlu menangani cabaran-cabaran yang lebih mendesak, seperti kemerosotan hubungan antara kaum dan kebimbangan mengenai ekonomi.

Daripada mencari gaduh dengan kerabat diraja, beliau berkata, kerajaan sepatutnya bekerja dengan mereka kerana mereka boleh menjadi sekutunya, khususnya dalam perkara-perkara berkaitan Islam dan orang Melayu.

“Jangan jadi seorang Napoleon yang mahu bergaduh dengan semua orang,” katanya. “Napoleon pun kecundang di Waterloo”.

Zaid menepis tanggapan kerabat diraja mencampuri kerja eksekutif, mengatakan mereka tiada kuasa mengawal agensi-agensi kerajaan seperti polis atau tentera.

“Bagaimana orang yang tiada kuasa boleh campur tangan?”

Mengambil contoh isu tanah Bukit Chagar, beliau berkata mesti seseorang di kerajaan persekutuan atau negeri bertanggungjawab memindahkan tanah itu kepada Sultan Johor kerana sultan tiada kuasa memindahkan tanah itu kepada dirinya.

Beliau menggesa kerajaan supaya bersikap telus dan beritahu rakyat apa yang sebenarnya berlaku.

Dilaporkan sebuah plot tanah untuk Sistem Transit Rapid (RTS) dipindahkan kepada Sultan Johor semasa Barisan Nasional berkuasa.

Sultan Johor sedia menyerahkan tanah itu secara percuma jika tanah itu terlibat untuk projek RTS dengan syarat projek itu mestilah diteruskan dengan segera.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad menghangatkan lagi sengketa dengan Tunku Ismail, menggelarnya “bodoh” dan “budak kecil”.

Zaid berpegang kepada prinsip semua orang bertanggungjawab atas tindakan masing-masing. Raja-raja juga tidak terkecuali, katanya.

“Saya juga pernah mengkritik raja sebelum ini,” katanya. “Saya antara yang pertama mempertahankan Dr Mahathir pada 1990-an, malah Umno pun tak berani pertahankan beliau.”

Beliau merujuk kepada pertelagahan Mahathir dengan raja-raja ketika mula menjadi perdana menteri.

Beliau berkata kerajaan tidak patut menganggap kata-kata Tunku Ismail sebagai campurtangan atau ancaman kerana kata-kata itu tidak menghalang keupayaan fungsi kerajaan.

“Kenapa kamu terlalu sensitif terhadap suatu pandangan? Kenapa pemimpin kerajaan perlu respon dan kritikal? Apa kerosakan yang kata-kata itu boleh lakukan? Jika kamu mahu jadi ahli politik, kamu mesti tebal kulit.”

Beliau berkata Tunku Ismail, seperti orang lain juga, harus diberi ruang untuk menyuarakan pandangannya dan para menteri tidak perlu terlibat kerana orang ramai tahu membezakan salah dan betul.

Beliau menyarankan kerajaan bertemu Tunku Ismail jika ia percaya TMJ perlu difahamkan lagi mengenai undang-undang perlembagaan.

Tak perlu bergaduh di khalayak ramai, katanya.

Beliau juga berkata pemimpin sebenar akan lebih memikirkan bagaimana menyelesaikan masalah daripada mendapatkan rasa hormat seteru-seterunya. Jika kerajaan mengambil pendekatan itu, katanya, ia tidak akan dilihat lemah.

“Saya tak suka apabila wacana terbuka digunakan untuk memalukan raja-raja. Saya rasa itu tidak adil. Menegur atau memburukkan raja-raja, apa yang kamu ingin capai?”

Jika raja-raja sudah tersalah jalan, maka kerajaan perlu berhubung dengan mereka, katanya.

Bagi Zaid, masalah utama kerajaan dalam menangani istana adalah egonya yang besar. Nampaknya, Putrajaya mahu menang hujah, katanya.

Beliau berkata kerajaan patut diingatkan bahawa orang Melayu, secara umumnya, sayang raja-raja Melayu dan institusi diraja.

Beliau mengingatkan isu itu perlu ditangani dengan cermat dan berharap orang bukan Melayu mengelak dari mengkritik raja-raja sehingga ke tahap mengejek mereka.

“Kalau kita tak tangani hal ini dengan baik, negara kita akan berpecah,” katanya.